PENGANJUR sering mahukan mereka tampil bersama dalam persembahan.
PENGANJUR sering mahukan mereka tampil bersama dalam persembahan.
Syafil Syazwan Jefri


LEBIH dua tahun melayari kehidupan sebagai suami isteri memberi peluang kepada pasangan penyanyi, Azzam Sham dan Sheryl Shazwani melalui pelbagai pengalaman.

Ditambah pula dengan kehadiran cahaya mata, Azzalea Safiyya yang dilahirkan pada 27 November 2022, kehidupan mereka bertambah warna-warni dan mula menikmati rezeki yang sentiasa ada.

Berkesempatan bertemu pasangan ini, Azzam dan Sheryl berkongsi liku kehidupan dan karier mereka.

"Alhamdulillah, selepas berkahwin rezeki kami semakin bertambah dan ditambah pula dengan kehadiran cahaya mata.

"Adalah, sekali dua kami rasa macam hidup kami melalui fasa kesulitan, tapi alhamdulillah, ada saja rezeki. Mungkin berkat perkahwinan dan Allah berikan rezeki ini," katanya.

Berusaha untuk keluar dari syarikat rakaman yang dinaungi dan ingin bergerak sendiri, Azzam berkongsi proses mencari rezeki yang kini menjadi tanggungjawabnya sebagai ketua keluarga.

AZZAM dan Sheryl bersyukur atas rezeki buat keluarga kecil mereka.
AZZAM dan Sheryl bersyukur atas rezeki buat keluarga kecil mereka.

"Kalau daripada segi pendapatan, saya memang bergantung hanya kepada tawaran nyanyian dan berlakon saja. Memang tawaran itu ada, tapi saya tak tahu apa akan berlaku pada masa akan datang," katanya.

Pernah timbul rasa untuk mengalah, Azzam mengembalikan semula semangatnya dengan mengimbau kembali perjalanan seninya sejak 2009.

"Saya pernah kecewa dan menganggap nyanyian bukan bidang yang sesuai untuk saya lagi. Selepas itu, saya fikir semula dan berfikir, ini adalah bidang yang saya minati sejak 2009. Jadi, tak patut saya berhenti dan mengalah," katanya.

Ditanya mengenai Sheryl, Azzam tidak pernah menghalang minat isterinya untuk kembali aktif dalam bidang nyanyian.

"Sheryl pada awalnya memang dah tak menyanyi lagi. Tapi, dia rasa seperti minat itu datang semula. Salah satu faktornya adalah sokongan peminat yang sentiasa ada.

"Mereka selalu bertanya, bila dia nak mulakan semula kariernya sebagai penyanyi. Saya sendiri pernah bertanya kepadanya, bila dia nak mulakan semula sebab dia nak hidupkan semula namanya sebagai penyanyi.

"Jadi, semangatnya itu datang sendiri. Baru-baru ini pun, kami dijemput untuk mengadakan persembahan di UiTM Melaka. Itu pembuka dan pencetus semangat untuk kami suami isteri bekerja keras," katanya.

Sheryl yang kini tidak bernaung di bawah mana-mana label juga selesa untuk terus menyokong kerjaya suaminya dan menjadikan Azzam sebagai tempat rujukan utamanya.

"Dulu saya bergerak sendirian sebagai penyanyi. Kini, saya bersama suami dan menyokong setiap langkahnya. Kami selalu berbincang juga memandangkan saya tidak bernaung di bawah mana-mana label.

"Walaupun tak keluar dengan lagu baharu, rezeki buat kami sentiasa ada," katanya.

Dengan keserasian kedua-duanya, nama mereka sentiasa dipilih sebagai pakej lengkap oleh penganjur untuk acara persembahan.

"Memandangkan kami bergerak bersama, selalunya tawaran yang datang pun memang dalam bentuk 'pakej' apabila penganjur nak kami tampil bersama.

"Selain itu, fokus saya sekarang lebih sebagai pempengaruh untuk kerja kempen dan sebagainya. Daripada ulasan produk itu juga, sedikit sebanyak membantu saya menjana pendapatan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 25 Februari 2024 @ 6:36 AM