PROJEK pembangunan Johor Halal Park.
PROJEK pembangunan Johor Halal Park.

Johor Bahru: Projek Johor Halal Park (JHP) yang dimajukan United Malayan Land Berhad (UMLand) setakat ini sudah menarik beberapa syarikat asing termasuk China yang menunjukkan minat untuk melabur.

Menteri Besar Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, projek dengan nilai pembangunan kasar (GDV) RM1.5 bilion itu menarik minat pelabur asing berikutan potensi besar bagi industri halal di tapak seluas 141.64 hektar.

Menurutnya, sektor halal yang dibangunkan itu sangat berbeza dengan penyediaan pusat penyelidikan dan pembangunan (R&D), unit kilang, pejabat dan sebuah makmal sains bagi membantu syarikat tempatan dan luar negara berkecimpung dalam sektor halal.

“Johor Halal Park yang dibangunkan di Cahaya Baru, Masai sangat berbeza dengan beberapa taman halal di beberapa negara lain.

“Kelebihan industri beroperasi di situ akan mewujudkan tempat untuk mengaudit dan menentukan proses sesuatu kilang menepati kehendak halal,” katanya pada pada sidang media sempena Mesyuarat Agung PIBG Kali Ke-20, Sekolah Kebangsaan Taman Rinting 2 di sini.

Mohamed Khaled berkata, pembangunan fasa pertama JHP itu membabitkan tanah seluas 20.23 hektar dan dijangka lengkap sepenuhnya pada 2020.

Mengulas lanjut, katanya, kerajaan negeri juga diminta untuk memberikan input penerangan mengenai industri berkenaan bagi menyokong kewujudannya di negeri ini.

“Ada juga wilayah dari China yang mahu datang dan sebab itu kita sedang mengkaji mengenainya. Dengan kelebihan yang ada, ia boleh menjadi satu lagi usaha membangunkan ekonomi Johor,” katanya.

UMLand sebelum ini yakin dapat menyiapkan sepenuhnya fasa pertama projek pembangunan Johor Halal Park (JHP) yang bermula sejak 2014 di Pasir Gudang, dekat sini, menjelang akhir tahun ini dengan pembangunannya kini mencapai kemajuan 45 peratus.

Fasa kedua hanya bermula pada pertengahan tahun ini dan dijangka siap pada 2018 manakala fasa ketiga dilaksanakan pada 2017 dan dijangka siap menjelang tahun 2020.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 Februari 2016 @ 6:51 AM