MOHD Noor
MOHD Noor

Kuala Lumpur: United Malayan Land Bhd (UMLand) menerusi Tentu Teguh Sdn Bhd (Tentu Teguh) terus mempelbagaikan pembangunan Wilayah Iskandar, Johor dengan mewujudkan taman halal berintegrasi di Pasir Gudang dengan nilai pembangunan kasar (GDV) RM1.5 bilion.

Taman halal yang mencakupi pelbagai kemudahan untuk syarikat industri halal dan bioteknologi adalah projek usaha sama antara UMLand, Johor Biotechnology & Biodibersity Corporation (J-Biotech) dan Halal Industri Development Corporation (HDC).

Ketua Pegawai Eksekutif Tentu Teguh, Mohd Noor Salam berkata, pembinaan projek itu yang bakal mengambil masa lima hingga tujuh tahun membabitkan keluasan tanah mencecah 140 hektar dengan tiga fasa pembangunan.

Beliau berkata, fasa pertama merangkumi 89 unit kilang, 37 kedai pejabat dan kini dalam proses mewujudkan sekolah Islam antarabangsa yang boleh memuatkan 1,000 pelajar.

“Kami membuat permohonan kepada HDC untuk mendapatkan akreditasi HALMAS untuk taman halal bagi menandakan kecemerlangan syarikat industri yang beroperasi mempunyai kualiti dan mengikut standard halal.

“Status HALMAS membolehkan pengendali, peserta industri dan penyedia perkhidmatan logistik memperoleh insentif daripada sektor halal tempatan,” katanya.

Taman halal berintegrasi itu bakal menyaksikan pembangunan rumah penjelasan dan pemasaran serantau, pembungkusan, penyimpanan dan logistik bersepadu, pusat sehenti, makmal halal dan sainstifik serta kemudahan inkubator dengan standard antarabangsa.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 7 November 2015 @ 5:04 AM