Oleh Faizatul Farlin Farush Khan


Dalam usaha mengumpul dana dan meningkatkan kesedaran terhadap program bantuan kemanusiaan Mercy Malaysia untuk membantu masyarakat tempatan, The Chicken Rice Shop (TCRS) bersama pertubuhan berkenaan bergabung tenaga baru-baru ini untuk melancarkan usaha mengumpul dana, Mencetus Perubahan Bermakna.

Bersesuaian dengan nama program, orang ramai berpeluang menyaksikan sendiri demonstrasi menangani pelbagai jenis bencana alam sambil menikmati hidangan TCRS di cawangannya di The Gardens, Kuala Lumpur.

Demonstrasi itu memberi tumpuan kepada lang­kah dan petua mudah apabila berhadapan dengan bencana alam. Ia memperlihatkan cara menangani empat jenis bencana alam iaitu ribut petir, banjir, gempa bumi dan tsunami.

Pengerusi TCRS Restaurants Sdn Bhd Tunku Mu'tamir Tunku Mohamed berkata, sebagai sebuah rang­kaian restoran keluarga tempatan, pihaknya komited untuk menabur budi kepada masyarakat sekeliling dan usaha yang dilakukan memberi peluang kepada orang ramai untuk menimba ilmu mengenai kaedah berhadapan dengan bencana.

"Ia juga meningkatkan kesedaran mengenai Mercy yang mampu membawa perubahan dengan memberi didikan kepada orang ramai supaya bertindak pantas dalam sesuatu bencana," katanya.

Sementara itu, Presiden Mercy Malaysia Datuk Dr Ahmad Faizal Perdaus berkata, usaha TCRS menunjukkan komitmen syarikat itu untuk melaksanakan tanggungjawab sosial korporatnya.

"Kami berharap pelanggan tetap TCRS dari seluruh Malaysia akan turut serta dalam usaha amal ini kerana ia satu peluang baik untuk menghulurkan sumbangan kepada mereka yang memerlukan bantuan kemanusiaan.

"Semua hasil kutipan akan disumbangkan kepada Tabung Kemanusiaan Umum yang diuruskan MERCY Malaysia untuk ­digunakan bagi membantu masyarakat tempatan di seluruh negara," katanya.

Turut hadir, Pengerusi Mercy Malaysia Tan Sri Ajit Singh, Pengasas TCRS, Gaik Wong dan Ketua Pegawai Eksekutif TCRS Wong Kah Lin.

Acara itu dapat mengumpul dana melalui penjualan lebih 100 keping tiket dengan harga RM200 setiap satu.

Mereka yang tidak dapat hadir juga tidak melepaskan peluang untuk membantu dengan menghulurkan derma bagi menjayakan usaha murni ini.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 25 November 2014 @ 5:00 AM