LOGITECH K380
LOGITECH K380
Oleh Husain Jahit


Masyarakat di negara ini dilihat lebih cenderung menggunakan peranti mudah alih seperti telefon bimbit atau tablet berbanding komputer laptop kerana ia lebih mudah dibawa ke mana saja.

Faktor itu lebih memudahkan pengguna untuk berkomunikasi, bekerja atau bermain hanya menggunakan peranti yang dibawa itu.

Disebabkan dunia kini dilihat bergerak pantas, pelbagai perkara yang kita lakukan juga perlu dibereskan dengan cepat untuk memenuhi kehendak semasa.

Penguji ingin mengaitkan isu kecepatan itu dengan peranti uji pakai kali ini iaitu papan kekunci mudah alih Logitech K380 Bluetooth Multi Device.

Ia adalah papan kekunci tanpa wayar yang boleh disambungkan ke pelbagai peranti yang menyokong standard penyambungan Bluetooth 3.0. Ia juga menyokong penggunaan peranti di atas berbilang platform merangkumi Windows, Mac, Chrome OS, Android dan iOS.

Kita tahu pengguna tegar teks di atas peranti telefon bimbit mahupun tablet mudah menggunakan kekunci maya di atas skrin peka sentuhan, tapi ia tidak mudah dilakukan dengan cepat dan terlalu banyak ralat atau salah ejaan.

Menggunakan K380, faktor kecepatan dan salah ejaan itu boleh diatasi dengan mudah.

Walaupun reka bentuknya agak kompak, tetapi mata kekuncinya masih bersaiz biasa dan mudah diketuk kerana faktor kedalaman dan mekanisme anjalannya yang baik. Ia membolehkan kita menaip dengan lebih laju dan mengurangkan kesilapan. Penaip tegar seperti penguji memang patut memilikinya.

Dikuasai hanya dua bateri sel saiz AAA lebih memudahkan kerana tidak perlu dicas semula dan senang untuk mendapatkan bateri ganti yang baru.

Penguji teruja dengan K380 ini kerana keupayaannya menyokong penggunaan sehingga tiga peranti serentak walaupun berlainan platform OS. Terdapat suis pengubah di atas sebelah kiri ‘1’, ‘2,’ dan ‘3’. Pengguna hanya perlu selaraskan peranti mengikut ketetapan nombor berkenaan dan tekan butang untuk diaktifkan atau bertukar-tukar peranti.

Dengan saiz dimensi 124 milimeter (mm)panjang, lebar 279mm, tebal 16mm dan berat hanya 423 gram termasuk bateri memudahkan kita untuk membawanya ke mana saja tanpa menjadi beban.

Penguji mencadangkan ia sebagai aksesori peranti pintar yang mesti dimiliki.

INFO

LOGITECH K380 - PAPAN KEKUNCI BLUETOOTH

- HARGA: RM180

- PENGELUAR: Logitech Inc

- PERTANYAAN: Logitech Malaysia

- LAMANWEB: www.logitech.com.my

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 Februari 2016 @ 5:00 AM