Seorang  penduduk menunggang motosikal mengharungi banjir di Taman Merdeka Jaya, Batu Berendam, hari ini. - Foto Bernama
Seorang penduduk menunggang motosikal mengharungi banjir di Taman Merdeka Jaya, Batu Berendam, hari ini. - Foto Bernama
Mohd Hilmie Hussin

Melaka: Mangsa banjir yang dipindahkan ke pusat pemindahan di seluruh negeri ini meningkat kepada 4,382 orang setakat jam 4 petang tadi, berbanding 3,092 tengah hari tadi.

Daerah Melaka Tengah mencatat jumlah mangsa paling ramai iaitu 2,720 orang membabitkan 616 keluarga.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Banjir Negeri (JPBN) Leftenan Kolonel (PA) Effendy Ali berkata, sehingga jam 4 petang, enam pusat pemindahan beroperasi di daerah Melaka Tengah berbanding tiga pada jam 12 tengah hari tadi.

"Selain Masjidul Rahman di Krubong, Sekolah Kebangsaan Krubong dan Sekolah Menengah Kebangsaan Krubong, tiga pusat baru dibuka iaitu Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan (C) Malim, Sekolah Rendah Agama Bertam Malim dan Kompleks Bertam Malim," katanya.

Sementara itu, 341 keluarga membabitkan 1,615 mangsa di daerah Alor Gajah masih berada di lapan pusat pemindahan banjir dengan Sekolah Menengah Kebangsaan Belimbing Dalam menempatkan mangsa paling ramai iaitu 561 mangsa.

Di Jasin, satu pusat pemindahan ditutup iaitu Balai Raya Asahan menjadikan hanya Sekolah Menengah Kebangsaan Simpang Bekoh dan Sekolah Kebangsaan Chohong beroperasi membabitkan 47 mangsa daripada 11 keluarga.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 7 Februari 2016 @ 5:34 PM