Amir Abd Hamid di Turki

KANAK-kanak 11 tahun tidak dapat menahan sebak menceritakan kehidupan keluarganya musnah akibat konflik yang dahsyat di negara asalnya, Syria.

Rau'ah Ajabir, kehilangan ayahnya yang terkorban syahid dalam medan pertempuran di bandar kelahiran di Aleppo manakala dia juga langsung terputus hubungan dengan ibunya selepas kejadian pertempuran itu.

"Saya masih berharap dapat bertemu semula dengan ibu. Apa saya tahu daripada orang dewasa di sekolah ini, ibu hidup lagi di Damsyik.

“Ketika berhijrah ke sini (Turki) dengan dua beradik lagi, kami dibawa bapa saudara," katanya.

Dia ditemui Harian Metro di sekolah pemberian UNICEF bagi pelarian yang diuruskan Muslim Care Malaysia Soceity (Muslim Care) di Kimaular, di sini, semalam.

Rakan sekelasnya, Khatijah Dakmish, 12, yang baru sebulan berada di sekolah itu kelihatan agak takut untuk ditemubual. Jauh dari kampung halaman di Holmes, Syria, dia juga kematian ayahnya.

"Saya lari menyelamatkan diri daripada kekejaman di Syria bersama ibu dan adik. Saya harap perang berakhir. Walaupun selesa berada di sekolah ini tetapi saya mahu pulang," katanya.

Sekolah UNICEF diuruskan Muslim Care bagi pelarian Syria di Kimaular beroperasi sejak September tahun lalu.

Enam ratus pelajar termasuk 40 daripadanya kategori Orang Kurang Upaya (OKU) belajar di 13 kelas dibantu 40 tenaga pengajar di sekolah berkenaan.

Sekolah itu dilengkapi kemudahan asas termasuk taman permainan kanak-kanak dan bakal dilengkapi makmal komputer tidak lama lagi.

Sementara itu, Ketua misi sukarelawan Muslim Care, Mohd Johari Ismail berkata, pihaknya menjadikan penubuhan sekolah sebagai agenda utama untuk membantu rakyat Syria dengan objektif memastikan generasi muda negara itu tidak keciciran pelajaran.

"Hanya mereka berilmu boleh meneruskan agenda pembangunan negara sekiranya Syria bebas daripada konflik peperangan pada masa depan” katanya.

Mohd Johari turut meminta rakyat Malaysia terus menyalurkan sumbangan menerusi akaun Muslim Care (Maybank 564490413882 atau Bank Islam 140320100932666) dan hantarkan mesej mengenai sumbangan kepada Ustaz Nazmi Karim di talian 019-2726567.

"Kita perlu sedar rakyat Syria berhadapan isu kemanusiaan antara terburuk abad ini dan sudah menjadi kewajipan kepada kita di Malaysia membantu mereka," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 6 Februari 2016 @ 8:58 PM
ROMBONGAN Muslim Care bergambar kenangan bersama pelajar murid sekolah pelarian Muslim Care.
ROMBONGAN Muslim Care bergambar kenangan bersama pelajar murid sekolah pelarian Muslim Care.