DARI kiri Mohd Hasraf Zahari, Faridzuan Ab Hadi dan Tuan Shafiq Tuan Suharto bersama hidangan makanan laut yang disediakan di restoran D’Tasik.
DARI kiri Mohd Hasraf Zahari, Faridzuan Ab Hadi dan Tuan Shafiq Tuan Suharto bersama hidangan makanan laut yang disediakan di restoran D’Tasik.

Berlatar belakang tasik di pintu masuk Universiti Tenaga Nasional (Uniten) ramai tidak tahu terdapat restoran makanan laut D’Tasik yang menyediakan aneka hidangan yang pasti menggamit selera pengunjung.

Makanan laut seperti sotong, udang, ketam dan pelbagai jenis ikan dimasak segar sebaik saja pelanggan membuat pilihan menu mereka. Antara yang enak ialah kerangupan udang mentega, ayam lemon dengan perahan limau yang memberikan rasa masam dan manis, sotong goreng tepung, sayur campur serta hidangan ikan siakap pelbagai rasa.

Tomyam paling digemari kerana kepekatan kuah serta secukup rasa menyebabkan anda pasti datang lagi ke sini. Bagi pengunjung yang datang bersama keluarga hidangan secara set lebih menjimatkan. Ada empat set berlainan disediakan bergantung kepada jumlah pengunjung.

Pengunjung turut boleh memilih hidangan secara ala carte yang menyediakan pelbagai jenis menu bergoreng. Restoran yang dibuka setiap hari kecuali Isnin bermula jam 6 petang hingga 11 malam ini pastinya sesuai untuk seisi keluarga disebabkan suasana yang tenang sambil menikmati panorama indah cahaya neon yang menerangi di sekitar kawasan tasik.

Sempena Tahun Baru Cina, restoran ini menyediakan nasi ayam roasted Hainan khusus untuk penggemar hidangan nasi ayam. Keistimewaan menu ini pada penyediaan ayam yang dipanggang sempurna. Sos kicap dan cili turut memberikan keenakan tersendiri. Ia turut menyediakan dewan bagi mereka yang ingin datang bersama keluarga atau mengadakan majlis tertentu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 Februari 2016 @ 5:01 AM