LUQMAN HAKIM RAMLAN
LUQMAN HAKIM RAMLAN
Mohd Khairie Khalid


“SAYA berazam memperbaharui rekod kebangsaan berusia 11 tahun dalam acara lompat jauh, sebelum ke temasya Sukan Asia di Indonesia, Ogos ini,”.

Itu sasaran Luqman Hakim Ramlan selepas berjaya melakukan lompatan sejauh 7.82 meter (m) untuk sekali gus memenangi pingat emas pada Kejohanan Olahraga All Comers FTKLAA, di sini, Ahad lalu.

Dia hanya kekurangan 0.06m untuk memecahkan rekod kebangsaan sejauh 7.88m yang dicatatkan oleh Josbert Tinus di Bangkok, pada 5 Oktober 2007.

Lompatan yang dirakamkan oleh Lukman itu berjaya mengatasi catatan pemenang perak temasya Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017), Suwandi Wijaya dari Indonesia iaitu 7.78m.

Luqman, 23, berkata lompatan sejauh 7.82 meter itu bukan saja tidak dijangka malah turut membolehkan dirinya menempah slot ke temasya Sukan Asia di Indonesia, Ogos ini.

“Saya tidak jangka mampu melakukan lompatan itu (7.82m) kerana tahun ini apa saya sasarkan adalah 7.70m. Alhamdulillah apa yang saya usahakan berhasil.

“Alhamdulillah jarak ini buatkan saya layak ke Sukan Asia. Saya sudah bertanya kepada ketua jurulatih olahraga kebangsaan, Zainal Abas dan dia mengesahkan saya layak ke Sukan Asia,” katanya yang menamatkan saingan KL2017 pada kedudukan kelapan hasil lompatan sejauh 7.12m kerana mengalami masalah keracunan makanan.

Sebelum ini, Luqman menjadi atlet olahraga pertama layak secara automatik ke Sukan Asia 2014 di Incheon, Korea Selatan selepas melakukan lompatan sejauh 7.53m pada temasya Sukan Institusi Pengajian Tinggi (SUKIPT) 2014, mengatasi jarak kelayakan, 7.52m.

Bagaimanapun namanya digugurkan untuk menyertai temasya itu.

Sukan Asia 2018 di Jakarta dan Palembang, Indonesia dijadual berlangsung pada 18 Ogos hingga 2 September ini.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 20 Mac 2018 @ 8:47 PM