Jia Xin tewaskan Sean Yee. FOTO GOH THEAN HOWE
Jia Xin tewaskan Sean Yee. FOTO GOH THEAN HOWE
Aida Adilah Mat


ATLET lompat tinggi wanita Ngu Jia Xin melakarkan kejutan menewaskan pemegang rekod kebangsaan acara itu, Yap Sean Yee di Kejohanan Olahraga Terbuka Malaysia di Stadium Nasional Bukit Jalil.

Biarpun mengalami sedikit kecederaan pada kaki kanannya, atlet berasal dari Perak itu melakukan lompatan 1.71 meter untuk pingat emas manakala Sean Yee di tempat kedua, 1.66m dan Nick Ezzany Sarawa Zulkarnain, 1.40m ketiga.

Bagi Jia Xin ia satu kejayaan di luar jangkaan ketika saingan hanya membabitkan satu lawan satu selepas Ezzany kecundang lebih awal.

Atlet berusia 18 tahun itu berjaya melepasi ketinggian 1.71m pada percubaan pertama dan usahanya untuk melepasi ketinggian 1.73m bagaimanapun gagal.

Katanya, kejayaan hari ini memberi suntikan semangat menjelang Sukan Malaysia (SUKMA) September ini.

“Saya sangat gembira. Tapi tidak boleh berpuas hati dengan kejayaan hari ini.

“Usaha mesti diteruskan kerana jika boleh saya mahu melakukan lompatan lebih tinggi lagi iaitu 1.75m,” katanya. 

Begitupun rekod kebangsaan masih dipegang oleh Sean Yee dengan catatan 1.83m yang dilakukan tahun lalu di Kuala Lumpur.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 11 Mei 2018 @ 8:14 PM