Oleh Nor Faizah Mohamed


Padankan dengan apa saja, kemeja-T tidak pernah menghampakan. Digandingkan bersama celana pendek, jean mahupun sut, kemeja-T bagaikan dalam kelasnya tersendiri.

Siapa yang tidak gemar menyarungkan kemeja-T? Ringkas, mudah dan tidak perlu bimbang sama ada gaya yang cuba ditampilkan kena pada caranya.

Nyata kemeja-T menghimpunkan jutaan peminat hingga label fesyen tersohor dunia tidak ketinggalan menampilkan koleksi masing-masing.

Muzik, seni, fotografi, jenama produk barangan harian serta watak manga daripada komik popular Jepun bukan elemen asing bagi peminat koleksi kemeja-T yang menjadi satu daripada tarikan utama Uniqlo.

Sejak dilancarkan di Tokyo pada 28 April 2007, projek yang dinamakan UT ini menonjolkan rekaan kemeja-T konsep baru yang inovatif hasil idea Pengarah Kreatif Uniqlo Kashiwa Sato lalu ditampilkan di butiknya di seluruh dunia.

Untuk himpunan musim ini di bawah kendalian Pengarah Kreatifnya, Nigo yang bersama Uniqlo sejak 2014, kemeja-T diangkat ke tahap baru.

UT adalah komponen utama dalam rangkaian LifeWear yang diperkenalkan Uniqlo sejak beberapa musim lalu. Kali ini, 16 tema grafik baru diperkenalkan yang menghasilkan 1,200 corak dan variasi warna secara keseluruhannya.

Budaya pop terus menjadi keutamaan apabila kebanyakan corak menampilkan projek Disney seperti Mickey Mouse selain penampilan baru daripada Liberty London dan Bruno Munari.

Tema muzik pula dimeriahkan dengan imej legenda dunia seperti Led Zeppelin, Kurt Cobain, The Sex Pistols, The Chemical Brothers, Foo Fighters dan The Misfits.

Akar umbi Uniqlo sama sekali tidak dilupakan dan koleksi UT musim ini menonjolkan corak daripada Haibara, Shodo dan Kinnikuman.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 29 January 2016 @ 12:02 PM