Oleh Nor Faizah Mohamed


Bruce Chatwin, seorang penulis dan pengembara. Si pengembara tegar yang tanpa henti mencari erti sebuah kehidupan.

Si pengembara tegar yang tidak betah singgah lama di satu-satu lokasi atas paksi kepuasan diri.

"Dia lelaki British yang tidak mampu tinggal di satu tempat. Saya pernah menjadi sepertinya, menjadi nomad seperti itu," luah Christopher Bailey di belakang pentas, usai persembahan Burberry Prorsum bagi himpunan lelaki musim bunga dan panas kali ini.

Justeru, tidak hairanlah mengapa Ketua Pegawai Eksekutif Burberry merangkap pereka utama label mewah Britain itu mengang­kat imaginasinya ke satu dimensi berbeza dengan menonjolkan aspek kebebasan yang didambakan setiap manusia.

Sama seperti Chatwin, koleksi kali ini berpaksikan kepada misi mencari kepuasan diri sambil disulami unsur praktikal juga menepati trend terkini.

Jaket denim ditampilkan dengan poket bersaiz sederhana yang sesuai untuk buku nota kembara.

Beg sandang pula direka untuk membolehkan pengembara menyimpan segala keperluannya manakala kemeja-T dicetak dengan corak vintaj seperti yang boleh dilihat di pasar lambak.

Penggunaan rona terang, gelap dan pastel melatari keseluruhan koleksi dan sekali lagi inspirasi Chatwin menerusi kulit buku nukilannya dijadikan tunjang grafik.

"Dunia berubah begitu cepat dan apa yang penting ketika ini ialah mencerminkan semula sejarah serta warisan terbabit," tambah Bailey.

Bailey memadankan rekaan itu dengan material ringan dan ringkas. Tanpa potongan moden, setiap helai tampak normal, namun masih diselitkan beberapa elemen menarik terutama pada perinciannya.

Ia boleh juga disifatkan padanan klasik tapi pada masa sama, mampu mencetuskan siluet kontemporari.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 16 January 2015 @ 5:00 AM