NURUL Nisa tampilkan kelainan dalam karyanya.
NURUL Nisa tampilkan kelainan dalam karyanya.
Nurul Husna Mahmud


Sebut saja pencapaian artis seni lukisan tempatan, kebiasaannya kelibat yang mengungguli senarai pelukis termasyhur adalah lelaki.

Malah, nama besar seperti Allahyarham Datuk Syed Ahmad Syed Jamal, Abdul Latiff Mohidin dan Yusoff Ghani turut meniti dibibir peminat koleksi seni berkenaan.

Namun, tidak bermaksud dunia seni visual sepi tanpa kehadiran penggiat atau pelukis wanita.

Perkembangan positif dapat penulis lihat sendiri sebaik berkesempatan mengunjungi pameran ALAM An Artistic Journey Into Malaysia's Fauna, Flora di The Ledge Art Gallery 1 Utama Petaling Jaya, Selangor. Pameran itu berlangsung sehingga 26 Februari ini.

Uniknya 15 daripada 19 artis yang mengambil bahagian adalah wanita. Paling menarik perhatian adalah karya artis lukisan dua dimensi (2D), Nurul Nisa Omar, 37, yang menampilkan lapan hasil kerjanya.

Nurul Nisa yang juga pensyarah visual komunikasi dan seni di sebuah universiti antarabangsa berkata, karya ditampilkan artis seni wanita memiliki kekuatan tersendiri.

Beliau yang tampil dengan gaya tersendiri dalam berkarya mula bereksperimentasi dengan medium gabus (foam) untuk menghasilkan lukisan 2D sejak tiga tahun lalu.

"Sejak lima tahun kebelakangan ini sudah ramai pelukis wanita mewarnai dunia seni lukis. Ramai juga berani dan mula yakin untuk sertai pameran.

"Peranan artis itu sendiri perlu berusaha menonjol dan menampilkan kelainan bagi memastikan mereka dapat menarik pengumpul dan peminat seni tempatan," katanya.

Menyentuh kepada karya yang ditampilkan dalam pameran ALAM itu, kata Nurul Nisa, karya dihasilkan menampilkan motif bunga, pokok dan pesona wanita.

"Inspirasi karya saya adalah 'contengan' anak lelaki yang berusia empat tahun, Ezra Khalid.

"Kami kerap melakukan aktiviti seni bersama dan dia sangat suka melukis sesuatu.

"Inspirasi lain adalah menerusi pemerhatian saya ketika mengunjungi taman di luar negara.

"Cumanya keunikan dalam karya saya yang tidak pernah dilakukan artis lain ialah medium gabus digunakan," katanya.

Beliau juga tidak menyangka percubaan menggunakan gabus diterima dan karya pertama menggunakan medium terbabit terjual hanya dalam tempoh dua minggu.

Bagi artis aliran realism (lukisan imej realistik) Elise Wong Mei Hoong pula, menyifatkan pandemik Covid-19 satu peralihan besar apabila dia beralih menjadi pelukis sepenuh masa atas dorongan pengikutnya.

Dalam pameran ALAM, artis berusia 29 tahun itu tampil koleksi lukisan memaparkan spesies tempatan yang kebanyakan terancam.

"Tidak dinafikan saya adalah peminat setia National Geography dan rancangan dokumentari itu banyak melentur minat dalam menghasilkan karya yang realistik berkait dengan haiwan.

"Istimewa untuk pameran ALAM, hasil lukisan saya adalah haiwan yang unik dan wujud d

alam Malaysia. Saya tonjolkan detik 'kritikal' atau momen yang tidak pernah dilihat orang ramai mengenai keletah haiwan liar itu," katanya.

Menyentuh karya paling mencabar, visual realistik dua spesies anak kucing hutan sedang bermain mengambil masa setahun untuk disiapkan.

"Karya paling memberi tekanan kepada saya adalah lukisan kucing hutan. Saya adalah artis 'realism' dan realistik adalah sesuatu yang penting pada saya.

"Jika pada mata saya bahagian itu tidak mencapai kesempurnaan, saya akan tinggalkan dahulu dan menyambung kemudian," katanya.

Elise menyimpan impian dapat berkolaborasi dengan aktivis atau organisasi haiwan antarabangsa supaya usaha menyelamatkan spesies haiwan natif terancam daripada pupus dapat dilakukan menerusi kerja seni.

Sementara itu, wakil penganjur pameran terbabit, Abdul Hamid Mohamed berkata, lebih 70 karya dipamerkan bertujuan meningkatkan kesedaran terhadap alam semula jadi.

"Pameran ini diharap dapat memberi kesedaran, pengetahuan dan pendidikan kepada orang ramai serta badan tertentu betapa pentingnya alam semula jadi.

"Masalah alam sekitar adalah isu global ketika ini dan hidupan liar perlu dipelihara dan dilindungi untuk dihayati generasi akan datang," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 Februari 2023 @ 7:00 AM