ANGGOTA komuniti LGBT Indonesia memegang sepanduk yang menyatakan homoseksualiti bukan satu penyakit mental.
ANGGOTA komuniti LGBT Indonesia memegang sepanduk yang menyatakan homoseksualiti bukan satu penyakit mental.

Jakarta: Seorang menteri Indonesia mahu komuniti lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) dihalang memasuki universiti di negara itu kerana bimbang ia boleh merosakkan moral pelajar.

“Ketinggian nilai dan moral perlu dipertahankan. Universiti adalah pelindung moral negara,” kata Menteri Teknologi, Kajian dan Pendidikan Tinggi Indonesia, Muhammad Nasir.

Katanya, komuniti LGBT boleh merosakkan moral negara dan universiti pula mampu mempertahankan nilai moral dan nilai nenek moyang masyarakat Indonesia.

Muhammad mengulas mengenai sebuah organisasi di Universiti Indonesia (UI) yang dikenali Kumpulan Sokongan dan Pusat Sumber untuk Kajian Seksualiti (SGRC) yang menawarkan kaunseling kepada pelajar LGBT.

Katanya, dia menghubungi reaktor UI dan diberitahu SGRC tidak mendapat kebenaran untuk ditubuhkan di universiti berkenaan.

Baru-baru ini, beberapa risalah yang diedarkan kumpulan LGBT mencetuskan bantahan pelajar yang menuduh pihak universiti membiarkan LGBT menular di kampus.

Situasi itu turut menerima kritikan dalam kerajaan dengan ahli Parlimen, Nasir Djamil menyatakan LGBT adalah ancaman serius kepada negara.

“Komuniti LGBT tidak harus dibenarkan berkembang atau diberi ruang menjalankan aktiviti.

“Lebih serius lagi anggota LGBT pergi ke universiti untuk menjalankan kajian saintifik dan membuat kumpulan perbincangan,” katanya. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 January 2016 @ 10:51 AM