HAKIMI gigih menjalani latihan di padang MSN Bukit Jalil.
HAKIMI gigih menjalani latihan di padang MSN Bukit Jalil.
Oleh Aida Adilah Mat

Kuala Lumpur: Pengalaman beraksi pada Kejohanan Olahraga Dunia memberi pengajaran berguna kepada jaguh lompat kijang negara, Muhammad Hakimi Ismail untuk lebih bersedia tatkala berdepan kejohanan besar.

Dihantui kecederaan belakang menjelang kejohanan dunia di China menyebabkan aksinya agak terhad hingga menjejaskan lompatannya.

Namun semua itu satu pengalaman berguna buat pemegang rekod kebangsaan itu memburu tiket kelayakan secara merit ke temasya Sukan Olimpik Rio.

Katanya, dia kini sedang dalam perancangan berlatih dan menyertai kejohanan di luar negara dengan Eropah dan Amerika Syarikat menjadi keutamaannya.

“Jika boleh saya mahu layak secara merit ke Olimpik lebih awal supaya boleh fokus kepada latihan.

“Namun kini sasaran adalah Kejohanan Dalam Dewan Asia di Qatar Februari ini dengan temasya SUKIPT (Sukan Institusi Pengajian Tinggi) akan menjadi medan memanas badan sebelum ke Qatar,” katanya.

Atlet itu berharap dapat melakar lompatan terbaik supaya dia boleh merencana program seterusnya selain tidak mengharapkan aksi wildcard.

Menurutnya, bukan misi mustahil untuk layak ke Olimpik namun dia perlu berusaha lebih gigih kerana sukar untuk beraksi atas tiket wildcard terutama dalam acara balapan.

Atlet berumur 24 tahun itu memecahkan rekod Sukan SEA di Singapura, Jun lalu dengan lompatan sejauh 16.76 meter sekali gus merekod catatan terbaik peribadi dan juga rekod kebangsaan.

Dia perlu melepasi jarak 16.90m bagi melayakkan diri ke Olimpik.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 January 2016 @ 7:16 AM