ALIA buru tiket automatik layak ke Sukan Olimpik Paris 2024 bagi acara menembak pistol wanita 25 meter. FOTO ARKIB NSTP
ALIA buru tiket automatik layak ke Sukan Olimpik Paris 2024 bagi acara menembak pistol wanita 25 meter. FOTO ARKIB NSTP
Zulkarnain Azman


Kuala Lumpur: Atlet menembak negara, Alia Sazana Azahari berazam mahu beraksi di temasya Sukan Olimpik Paris 2024 secara merit meskipun mengakui ia bukan tugas mudah.

Alia yang juga pemenang pingat gangsa Sukan Komanwel Gold Coast 2018 dan pingat perak Sukan Sea Hanoi, Vietnam, Mei lalu bagi acara pistol wanita 25 meter, mengakui dia sedang melakukan persiapan untuk memburu mata kelayakan ke Olimpik Paris.

"Kalendar tahun ini banyak kejohanan Piala Dunia menawarkan kelayakan Olimpik Paris 2024 dan kali ini lain sikit berbanding edisi sebelum ini.

"Jika dahulu kita bergantung kepada ranking dan seterusnya layak ke Olimpik, kali ini ada kutipan mata dan ranking serta beberapa kiraan kelayakan lain.

"Jadi kami merancang strategi tahun ini untuk melayakkan diri ke Olimpik Paris. "Sukan Sea Kemboja tiada acara menembak dan seterusnya Sukan Asia di Hangzhou, China nanti.

"Tidak pasti mengenai Sukan Asia kerana ia ditangguhkan sebelum ini, apapun saya akan berusaha sehabis baik untuk dapatkan merit ke Olimpik dan wildcard dianggap sebagai hadiah minit terakhir bagi saya," katanya.

Sebelum ini, skuad menembak negara beraksi di pentas Olimpik Tokyo 2020 atas tiket 'wildcard' dan Persatuan Menembak Kebangsaan menghantar atlet berpengalaman, Suryani Taibi.

"Jika dapat wildcard pun, saya rasa bersyukur kerana bukan mudah untuk mendapatkan peluang itu.

"Wildcard turut bergantung kepada ranking, bila kita berada di kedudukan teratas dan layak dapat wildcard.

"Apapun, fokus saya adalah dapatkan merit terlebih dahulu dan berusaha sehabis baik untuk ke pentas Sukan Olimpik," kata atlet kelahiran Terengganu itu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 25 January 2023 @ 4:16 PM