Oleh Murni Wan Omar


Kuala Lumpur: Mahkamah Sesyen di sini, hari ini menjatuhkan hukuman penjara dua tahun dan denda RM200,000 terhadap inspektor polis selepas didapati bersalah meminta suapan wang tunai untuk melepaskan lelaki berhubung kes dadah.

Hakim Alaudeen Ismail menjatuhkan hukuman itu terhadap Raviindran Krishnan, 34, selepas berpuas hati pihak pembelaan gagal membuktikan kes melampaui keraguan munasabah.

Raviindran didakwa meminta suapan iaitu wang tunai RM40,000 melalui telefon daripada Dhalgit Singh sebagai dorongan untuk melepaskan K Manimaran yang ditahan berhubung kes dadah.

Dia didakwa melakukan kesalahan tersebut di Kepong pada 4 Jun 2013.

Bagi perbuatan itu tertuduh didakwa mengikut Seksyen 16(a)(B) Akta SPRM 2009 yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang RM10,000 atau lima kali ganda jumlah atau nilai suapan, jika sabit kesalahan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 January 2016 @ 5:35 PM