KANAK-KANAK kekurangan zat yang serius perlukan bantuan segera untuk selamatkan nyawanya.
KANAK-KANAK kekurangan zat yang serius perlukan bantuan segera untuk selamatkan nyawanya.
BERAT pesakit kekurangan zat dipantau sepanjang masa.
BERAT pesakit kekurangan zat dipantau sepanjang masa.
SEBAHAGIAN daripada pesakit kecil yang diberikan makanan khas untuk kuatkan tubuhnya.
SEBAHAGIAN daripada pesakit kecil yang diberikan makanan khas untuk kuatkan tubuhnya.
RENUNGAN sayu ibu dan anak yang sama-sama alami masalah kekurangan zat.
RENUNGAN sayu ibu dan anak yang sama-sama alami masalah kekurangan zat.
Susunan Norlaila Hamima Jamaluddin


Ketika si kecil mengimbangkan dirinya di atas penimbang, Dr Om Prakash tahu dia perlu mengambil tindakan pantas untuk mengelakkan berlaku satu lagi tragedi.

“Kanak-kanak yang mengalami ketidakcukupan zat yang teruk boleh meninggal dalam masa beberapa jam atau hari,” katanya ketika bertugas di unit penjagaan rapi khusus bagi kanak-kanak di negeri paling miskin di India.

“Untuk sihat baik bagi kanak-kanak atau orang dewasa, perkara pertama yang kita perlukan adalah nutrisi. Apabila nutrisi kita terganggu, semua fungsi badan akan terjejas,” jelasnya.

Hospital yang mempunyai 30 katil di Darbhanga di Bihar (di timur India) itu sesak dengan kanak-kanak berperut buncit dan bermata kuyu tanda utama bagi kemerosotan kesihatan dan bantut, akibat ketidakcukupan zat yang serius.

Walaupun secara umumnya ekonominya tumbuh pada kadar sihat, tetapi India masih jauh di belakang berbanding negara jiran yang miskin dalam soal nutrisi kanak-kanak apabila lebih 40 juta kanak-kanaknya mengalami kerencatan pertumbuhan, berdasarkan maklumat daripada satu laporan yang baru disiarkan.

Meskipun kerajaan India sudah membelanjakan berbilion rupee bagi menangani kesengsaraan ini, ia belum dapat menyelesaikan masalah yang disebabkan kemiskinan, ketidaksamaan gender dan penyakit.

“Sebenarnya India mempunyai jumlah kanak-kanak kurang zat yang tertinggi di dunia, lebih banyak daripada Afrika,” kata Pengarah Urusan Sesame Workshop India Sashwati Banerjee.

Pertumbuhan kanak-kanak kekurangan zat jika mereka berjaya hidup akan terbantut dan lemah, manakala otak dan sistem imun juga turut terjejas yang menyebabkan mereka lebih mudah terdedah kepada penyakit.

Berdasarkan laporan Global Nutrition, antara 2006 hingga 2014, kadar kerencatan pertumbuhan atau bantut dalam kalangan kanak-kanak di bawah umur lima tahun merosot daripada 48 peratus ke 39 peratus.

Dalam laporan yang disemak oleh Institut Penyelidikan Polisi Makanan Antarabangsa, jumlah itu bagaimanapun jauh lebih tinggi daripada kadar purata sejagat iaitu 24 peratus.

Timbang dalam besen

Keadaan tubuh yang kecil dan kurus kering, kanak-kanak di pusat kesihatan Bihar itu ditimbang dalam besen biru yang biasanya digunakan untuk membawa air atau mengisi pakaian yang hendak dicuci.

Tidak ada mainan atau lukisan di dinding seperti di kebanyakan pusat kesihatan kanak-kanak. Apa yang kedengaran hanyalah suara kanak-kanak merintih sementara pesakit kecil lain pula duduk diam tidak bermaya dengan renungan yang menyedihkan.

Di sini, doktor memberikan mereka campuran susu dan gula khas yang disukat berdasarkan berat kanak-kanak berkenaan.

“Mereka tidak boleh diberikan makanan biasa kerana ia akan mendatangkan banyak masalah. Jadi kami terpaksa berikan mereka makanan rendah kalori yang mudah dihadam,” kata Prakash.

“Secara perlahan-lahan kami akan tingkatkan jumlah susu dan apabila badan mereka sudah bersedia, kami berikan makanan separa pejal pula sebelum kanak-kanak ini boleh makan makanan lain,” sambungnya.

Berat cucu Zalumun Khatoon, Shahadat Hussein yang berumur empat tahun hanyalah lapan kilogram, separuh daripada berat normal kanak-kanak seusianya.

“Selama sembilan bulan dia diletakkan di bawah pemantauan dan diberikan ubat. Apabila dia demam berpanjangan, berat badannya mula merosot,” katanya ketika doktor dan jururawat sibuk keluar masuk wad.

Walaupun secara keseluruhannya masalah kekurangan zat menunjukkan penurunan, namun usaha penghapusan kebuluran dibatasi oleh pertambahan populasi India yang pesat dan dijangka mengatasi China menjelang 2022, berdasarkan laporan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Bihar, yang sudah pun mempunyai penduduk seramai 104 juta orang adalah antara negeri di India yang paling pantas mengalami pertambahan populasi dengan purata setiap wanita melahirkan empat anak. Ini bermakna secara umumnya penduduk di sini mempunyai jumlah mulut yang hendak disuap di luar kemampuan mereka. Malah jumlah negeri yang mundur dan bersaiz besar juga meningkatkan kadar kekurangan zat di India.

Dua sudah cukup

Kebanyakan wanita yang biasanya miskin dan buta huruf (juga mengalami masalah kekurangan zat) adalah wanita daripada status rendah. Ini bermakna mereka juga selalu berhadapan masalah tidak cukup sumber makanan yang menyebabkan anak dilahirkan tidak cukup berat.

Kurang kesedaran mengenai kebaikan susu ibu membuatkan ramai yang memberikan anak mereka susu lembu atau kerbau. Ini menyebabkan kanak-kanak daripada keluarga miskin berkenaan lebih mudah mendapat pelbagai jenis penyakit. Tambahan pula, budaya buang air secara terbuka (di merata-rata tempat) di India turut menyumbang kepada masalah ini.

Dalam laporan November tahun lalu, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) bersama Tabung Darurat Kanak-Kanak Antarabangsa Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) dan Agensi Amerika Syarikat untuk Pembangunan Antarabangsa (USAID) menunjukkan kaitan antara pengabaian aspek kebersihan dengan kekurangan zat.

Pembuangan air secara terbuka dan merata-rata meningkatkan penyebaran cirit-birit dan apabila berlaku berulang kali, ia boleh mengakibatkan perubahan kekal pada usus si kecil yang menghalang penyerapan nutrien penting daripada makanan. Ia seterusnya akan menyebabkan masalah pertumbuhan terbantut.

Menurut UNICEF, selain itu, parasit dalam usus yang dikenali sebagai cacing bulat dan cacing kerawit dipindahkan melalui tanah tercemar di kawasan apabila pembuangan najis secara terbuka diamalkan. Cacing kerawit adalah punca utama yang menyebabkan masalah anemia (kekurangan darah) pada wanita hamil, yang akan mengakibatkan kekurangan zat dan bayi dilahirkan tidak cukup berat.

Pengarah Pusat Perancangan Keluarga Janani, Purnima Jha berkata, keadaan di Bihar bertambah meruncing dengan tentangan dan kejahilan masyarakat terhadap isu perancangan keluarga.

“Kami tidak boleh memaksa orang untuk menjalani proses pemandulan. Jadi perkara paling asas yang boleh dilakukan ialah memberi pendidikan dan menyedarkan mereka bahawa dua orang anak sudah memadai,” kata Jha.

“Di sekolah, sekurang-kurangnya di sekolah menengah rendah dan tinggi perlu diajar mengenai kontrasepsi (perancangan kehamilan),” sambungnya.

Unit di Bihar ditubuhkan tahun lalu dengan bantuan Doktor Tanpa Sempadan dan pihak berkuasa berharap mereka dapat membuka wad khas untuk pesakit kekurangan zat di semua hospital kerajaan di negeri itu dalam masa terdekat.

Kekurangan zat menjadi ancaman pertumbuhan India, menurut kajian badan kebajikan British, Save the Children yang menganggarkan impak ekonomi akibat kekurangan zat dijangka boleh mencecah RM202 bilion menjelang 2030.

Prakash berkata, walaupun ketika ini pusat pakar memainkan peranan penting, tetapi kejayaan jangka panjang akan banyak bergantung kepada usaha mendidik golongan ibu mengenai pemakanan dan kebersihan.

“Kesedaran itu lebih diperlukan daripada ubat,” katanya. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 January 2016 @ 1:01 PM