DENGAN mengenal pasti dan menangani risiko faktor awal menerusi pemeriksaan rutin, kita mampu mengurangkan impak kekurangan nutrien pada kanak-kanak secara ketara.
DENGAN mengenal pasti dan menangani risiko faktor awal menerusi pemeriksaan rutin, kita mampu mengurangkan impak kekurangan nutrien pada kanak-kanak secara ketara.
Muhamaad Razis Ismail


ANEMIA kekurangan zat besi (IDA) antara cabaran kesihatan global utama di mana negara-negara membangun mempunyai kadar IDA lebih tinggi daripada negara maju, lazimnya pada kadar tiga hingga empat kali lebih tinggi.

Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), kanak-kanak paling mudah terjejas disebabkan kekurangan nutrisi zat besi.

Pada 2019, kadar anemia dalam kalangan kanak-kanak global berumur bawah 59 bulan adalah 39.8 peratus yang bersamaan dengan 269 juta kanak-kanak.

Pada tahun 2022, 46.5 peratus kanak-kanak di Malaysia berumur bawah 59 bulan menderita akibat anemia.

Kajian Kuat Zat Besi dijalankan syarikat makanan terkemuka, Danone menerusi kerjasama dengan Pusat Penyelidikan Klinikal, Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) mendapati seorang daripada tiga kanak-kanak di Malaysia berisiko menghidap anemia.

Selain itu, kanak-kanak kecil di Malaysia lebih berisiko mengalami anemia berbanding kanak-kanak lebih besar. Manakala kanak-kanak kurang berat badan berkemungkinan besar menghidap anemia. Malah, kanak-kanak di bandar dan luar bandar sama-sama dilihat berisiko menghidap anemia.

Kajian membabitkan 1,201 pesakit luar kanak-kanak di Malaysia yang berusia 36 bulan dan ke bawah di klinik kesihatan kerajaan yang dipilih secara rawak.

Ia kajian bukan invasif dan berbilang wilayah pertama Danone menggunakan peralatan saringan bukan invasif untuk memeriksa jumlah hemoglobin.

Kajian mendedahkan, maklumat dapat membantu meningkatkan kesihatan dan kesejahteraan kanak-kanak serta meneliti faktor risiko menyumbang kepada anemia, misalnya faktor sosio-demografi.

Dapatan kajian klinikal ini bertujuan membangkitkan kesedaran mengenai isu kritikal anemia dan menawarkan penyelesaian untuk meningkatkan status nutrisi di Malaysia, selain menekankan kepentingan intervensi awal anemia menerusi saringan proaktif, dengan menerapkannya ke dalam program pemeriksaan kesihatan penjagaan primer.

KETUA Pengarah Kebajikan Masyarakat, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Norazman Othman (tengah) turut menghadiri sesi perbincangan panel Menyingkap Kebenaran Zat Besi: Mendedahkan Kepentingan Saringan Anemia Dalam Kanak-Kanak Malaysia.
KETUA Pengarah Kebajikan Masyarakat, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Norazman Othman (tengah) turut menghadiri sesi perbincangan panel Menyingkap Kebenaran Zat Besi: Mendedahkan Kepentingan Saringan Anemia Dalam Kanak-Kanak Malaysia.

Dalam landskap kesihatan yang kompleks, menangani isu kesihatan seperti IDA menuntut strategi yang kolaboratif dan transformatif dalam penjagaan nutrisi. Inisiatif pertama seumpama ini sebahagian komitmen Danone memerangi kekurangan zat makanan dengan menekankan kepentingan intervensi awal.

Danone menjalinkan kerjasama dengan pakar penjagaan kesihatan dan mendekati komuniti tempatan, memacu perubahan positif serta meningkatkan kesihatan dan nutrisi di seluruh dunia, sekali gus menzahirkan Agenda Satu Kesihatan global syarikat berkenaan.

Perunding Kanan Endokrinologi Pediatrik dan Timbalan Dekan Fakulti Perubatan (PPUM), Profesor Dr Muhammad Yazid Jalaludin yang juga ketua penyelidik kajian berkata, kekurangan zat makanan penyumbang besar kepada IDA yang boleh menyebabkan komplikasi tumbesaran tidak dapat dibalikkan dalam kalangan kanak-kanak Malaysia.

"Implikasinya melangkaui pertumbuhan fizikal, ia turut menjejaskan perkembangan kognitif dan fungsi imun."

"Bagaimanapun, dengan mengenal pasti dan menangani risiko faktor awal menerusi pemeriksaan rutin, kita mampu kurangkan impak kekurangan nutrien pada kanak-kanak secara ketara," katanya.

Jelasnya, IDA berlaku apabila zat besi tidak mencukupi untuk menyokong penghasilan sel merah yang sihat.

"Zat besi penting dalam penghasilan sel darah merah dan berperanan penting dalam pertumbuhan serta fungsi otak.

"Justeru, kanak-kanak menghidap IDA mungkin menunjukkan pelbagai gejala, termasuk kurang fokus, keletihan, lemah, pening, kuku rapuh, dan kulit pucat. Kegagalan merawat masalah ini boleh mengakibatkan komplikasi kesihatan yang teruk termasuk kegagalan organ," katanya.

Sementara itu, Pengarah Specialized Nutrition Unit (SNU) untuk India dan Asia Tenggara di Danone, Vera Saw berkata, hasil Kajian Kuat Zat Besi mendedahkan betapa besarnya impak anemia dalam kalangan kanak-kanak di Malaysia.

"Kerjasama kami dengan Pusat Penyelidikan Klinikal, PPUM membuktikan dedikasi kami dalam menyokong nutrisi lebih baik serta membudayakan pemeriksaan kesihatan proaktif.

"Ini turut menetapkan asas untuk pelan intervensi strategik dan menggariskan langkah kolektif sesuai bagi menangani isu itu selari dengan agenda Satu Kesihatan kami di Malaysia," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 22 Julai 2023 @ 6:30 AM