SEBANYAK 18 laluan kargo ke China dijangka disambung semula.
SEBANYAK 18 laluan kargo ke China dijangka disambung semula.
Sri Ayu Kartika Amri

Kuala Lumpur: Penyambungan semula penerbangan AirAsia ke China menandakan kembalinya ruang kargo utama di China bagi Teleport, cabang logistik Capital A (dahulunya dikenali sebagai Kumpulan AirAsia).

Dengan AirAsia menjadi syarikat penerbangan asing terbesar yang beroperasi di China mengikut kapasiti, ini bermakna Teleport membawa bersamanya salah satu rangkaian kargo terbesar antara China dan Asean, dengan jangkauan rangkaian menghubungkan ke rantau Asia Pasifik lebih luas iaitu China, Australia/New Zealand, India, Jepun dan Korea.

Ketua Pejabat Eksekutif Teleport, Pete Chareonwongsak berkata, pihaknya teruja dengan pembukaan semula China kerana dilihat dapat menyokong pertumbuhan dalam perdagangan dan pergerakan e-dagang rentas sempadan di peringkat serantau.

Beliau berkata, pemulihan sepenuhnya armada AirAsia di China akan merealisasikan kelebihan rangkaian luas Teleport buat kali pertama sejak wabak Covid-19.

"Dengan pasukan seramai 700 orang di Malaysia, China, Thailand, Indonesia, Filipina, India dan Singapura, kami bersedia untuk menjadi pemain pilihan bagi penyelesaian logistik udara terpantas dan paling cekap di seluruh Asean.

"Hari ini, kami membantu pelanggan kami memindahkan segala-galanya daripada kargo am, volum besar seperti jentera kepada bungkusan kecil untuk pasaran e-dagang.

"Pembukaan semula China adalah penting dalam membantu kami mencapai cita-cita ke arah kepimpinan Asean dari segi bahagian pasaran pada 2023," katanya dalam kenyataan.

Teleport ditubuhkan pada 2018 dengan menyatukan kapasiti ruang semua syarikat penerbangan AirAsia di bawah satu rangkaian komprehensif.

Sebanyak 18 laluan kargo ke China dijangka disambung semula pada Mac, dengan rancangan meningkatkan 40 laluan menjelang suku ketiga tahun ini dari Malaysia, Thailand dan Filipina.

Kekerapan penerbangan dalam sektor ini dijangka kembali normal seperti prapandemik, dengan lebih 350 penerbangan mingguan menjelang suku keempat 2023.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 Mac 2023 @ 6:01 AM