MOHD Soffi (tiga dari kiri) pada majlis menandatangani MoU, semalam.
MOHD Soffi (tiga dari kiri) pada majlis menandatangani MoU, semalam.
Oleh Wan Nur Ameera Meor Rozman


Raub: Ronser Bio-Tech Bhd (Ronser) dan Casabrina Vacation Villas Sdn Bhd (Casabrina) menandatangani memorandum persefahaman (MoU) bagi membangunkan pusat pembangunan dan penyelidikan (R&D) akuakultur hijau serta pertanian untuk manfaat industri tempatan.

Ketua Pegawai Eksekutif Ronser, Dr Pua Eng Teck berkata, langkah itu bertujuan mewujudkan persekitaran kitaran air bersih terkawal dengan tahap sukatan ammonia yang boleh diterima.

“Projek ini akan menggunakan ‘Mass Biosystem’ (MBS), teknologi bertaraf dunia oleh Rosner untuk melakukan penyingkiran ammonia dalam sisa air sehingga 1ppm (bahagian per juta), jauh lebih rendah daripada standard kandungan ammonia dalam air minuman iaitu sebanyak 1.5ppm untuk membangunkan kualiti air dunia seperti ditetapkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

“Inisiatif ini juga akan memfokuskan kepada rawatan sisa organik secara biologi, berbanding kaedah konvensional yang memerlukan bantuan bahan kimia,” katanya pada majlis menandatangani MoU, semalam.

Hadir sama Pengerusi Jawatankuasa Kemudahan Asas dan Alam Sekitar Pahang, Datuk Seri Mohd Soffi Abdul Razak.

Kerjasama berkenaan turut dijalinkan bersama dua pihak lain termasuk pemegang saham, Shanghai Jiai Tong University (SJTU) dan Perunding Perniagaan Air Asia Jepun.

Menurutnya, pusat terbabit akan berfungsi memperkenalkan inovasi kepada penduduk setempat dan pemain industri selain dijadikan sebagai pusat pembelajaran serta praktikal menambah pendapatan ekonomi negara.

“Dengan menggunakan sistem teknologi buih nano yang mudah ini, petani dan perternak dapat mempelajari teknik baru yang bukan sahaja mampu memberi faedah kepada hasil mereka, malah mengupayakan mereka memperoleh pendapatan lebih dari sebelumnya.

“Untuk permulaan, di peringkat pertama rangkaian ini kami memperuntukkan pelaburan bernilai antara RM250,000 hingga RM500,000 dan angka itu akan berubah seiring dengan peringkat pembangunannya. Pusat ini dijangka dibangunkan dalam masa dua hingga tiga bulan akan datang,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 January 2016 @ 6:52 AM