TINJAUAN kilang pemprosesan sawit yang menyebabkan pencemaran di Empangan Sembrong. FOTO Adi Safri
TINJAUAN kilang pemprosesan sawit yang menyebabkan pencemaran di Empangan Sembrong. FOTO Adi Safri
Mohd Sabran Md Sani


JABATAN Alam Sekitar (JAS) Johor hari ini, mengeluarkan notis penggantungan lesen selama tiga bulan berkuatkuasa serta merta terhadap pemilik kilang memproses kelapa sawit yang menjadi punca pencemaran ammonia di Empangan Sembrong Barat, Kluang, kelmarin.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Alam Sekitar, Pendidikan dan Penerangan Negeri, Datuk Ayub Rahmat berkata, notis itu dikeluarkan selepas syarikat itu gagal menyelenggara sisa kumbahan kilang itu dengan baik.

Katanya, notis penggantungan lesen mengikut Peraturan 4, Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Pelesenan) 1977.

"Selain tindakan notis penggantungan oleh JAS, Badan Kawal Selia Air Johor ( BAKAJ) diminta untuk mengenakan kompaun maksimum RM250,000 terhadap syarikat itu," katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengadakan lawatan mengejut bersama pelbagai agensi di kilang itu serta lokasi kolam takungan sisa buangan yang menjadi punca pencemaran itu di Batu 3, Jalan Batu Pahat, hari ini.

Tinjauan selama sejam bermula 2.30 petang itu turut disertai JAS, BAKAJ, SAJ Ranhill (SAJ), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Pejabat Tanah.

Pencemaran itu menyebabkan 45,000 akaun pengguna syarikat SAJ Ranhill Sdn Bhd di daerah Kluang terjejas bekalan air akibat kandungan ammonia tinggi di Empangan Sembrong Barat, Kluang.

Malah bau busuk menyelebungi persekitaran loji berkenaan, selain keadaannya kotor berikutan ia menjadi lokasi pertama sebelum disaring dalam beberapa kolam takungan lain.

Beliau berkata, permohonan lesen abraksi air bawah tanah dibeku serta ditangguhkan terhadap syarikat berkenaan.

"Itu antara tindakan dibuat pada mereka dan diharap dapat memberi pengajaran pada kilang ini serta kilang-kilang lain.

"Ini penting kerana seringkali BAKAJ dan JAS dituding, sedangkan setiap pegawai daerah sepatutnya menubuhkan jawatankuasa khas berkaitan kegiatan-kegiatan terdapat di sungai yang membekalkan air.

"Kita juga meminta supaya pihak terbabit mengenal pasti apakah kegiatan sepanjang sungai dan ia cukup penting untuk pemantauan," katanya.

Katanya, kerajaan negeri tidak berkompromi serta bertindak tegas kerana ia membabitkan hal kemanusiaan.

Mengulas lanjut katanya, tinjauan itu dilaksanakan untuk melihat punca berlakukan masalah pencemaran ammonia hingga memaksa pemberhentian bekalan air sejak semalam.

"BAKAJ dan SAJ lihat berlaku pencemaran air yang membabitkan pada paras 20 bahagian per juta (ppm).

"Maka didapati berlaku begitu (pencemaran) dan operasi pemprosesan air dihentikan membabitlan bekalan masyarakat sekitar tidak dapat dibekalkan," katanya.

BAKAJ dan SAJ kemudian melakukan kajian serta membuat kutipan saringan air sebelum menadapati ia berkurangan pada paras 8 ppm.

"Tetapi pengurangan itu disebabkan pelepasan air yang dibuat Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) untuk meneutralisasikan kandungan air bagi mencairkan ammonia," katanya.

Sementara itu Pengurus Besar Operasi Pengeluaran dan Agihan SAJ Ranhill, Elias Ismail berkata, kira-kira 200,000 pengguna akan memperoleh bekalan air secara berperingkat-peringkat bermula 5.30 pagi.

"Kami akan bekalkan air secara berperingkat bermula dari peringkat rendah dan keutamaan kepada bandar Kluang.

"Sekarang ini tangki-tangki kosong sedang melalui proses pengisian dan akan mengambil masa, selain dijangka selesai esok," katanya penutupan air itu bermula 11.30 pagi semalam dan beroperasi semula 18 jam kemudian.

Berita berkaitan:

Bekalan air terjejas angkara ammonia

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 19 November 2017 @ 8:55 PM