Putrajaya: Tesco Stores (Malaysia) Sdn Bhd, terus meluaskan rangkaiannya dengan membuka cawangan ke-51 di IOI City Mall menggunakan konsep baru, Food First.

Pengarah Pemasarannya, Vivian Yap berkata, Tesco IOI City Mall pasar raya pertama berkonsepkan Food First, direka untuk penggemar makanan.

“Sebagai penyewa utama dalam pusat beli-belah, kami berharap untuk menjadi tarikan utama kepada jutaan pelawat yang akan berkunjung ke sini dan pelanggan dapat menikmati wajah baru Tesco pada harga yang masih sama seperti cawangan lain.

“Kami berbesar hati menjadi sebahagian komuniti Putrajaya dan menyediakan barang keperluan pengguna di bawah satu bumbung,” katanya dalam kenyataan di sini semalam.

Pasar raya itu dilancarkan oleh Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Sri Hasan Malek.

Direka memenuhi minat dan rasa cinta rakyat Malaysia terhadap makanan, pasar raya bersaiz 4000 meter persegi itu berhasrat memberi perkhidmatan kepada komuniti Lembah Klang Selatan yang lebih besar dengan barangan makanan berkualiti.

Malah, 80 peratus daripada keseluruhan barangan produk makanan dan 20 peratus barangan bukan makanan.

Menurutnya, pelanggan juga boleh menikmati rangkaian jenama baru untuk barangan kegemaran premium yang diimport atau buatan tempatan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 21 November 2014 @ 5:05 AM