PENGHUNI hotel bergegas menyelamatkan diri.
PENGHUNI hotel bergegas menyelamatkan diri.
BOMBA berjaya memadamkan kebakaran, tetapi sebahagian daripada hotel 63 tingkat itu masih berasap hingga pagi semalam.
BOMBA berjaya memadamkan kebakaran, tetapi sebahagian daripada hotel 63 tingkat itu masih berasap hingga pagi semalam.
AFP

Dubai: Asap masih lagi dilihat keluar dari sebuah hotel mewah 63 tingkat, di sini semalam ketika pihak berkuasa menyiasat punca kebakaran bangunan itu sebelum sambutan Tahun Baru.

Kebakaran besar di hotel The Address Downtown berlaku jam 9.30 malam (waktu tempatan) kelmarin menyebabkan pelanggan panik, tetapi tiada kecederaan serius dilaporkan.

Walaupun api marak di hotel itu, pihak berkuasa tetap meneruskan pertunjukan bunga api sempena Tahun Baru di bangunan tertinggi di dunia, Burj Khalifa yang terletak bersebelahan lokasi kebakaran.

Pegawai berkata, api bermula di luar bangunan di tingkat 20, tetapi punca kebakaran masih belum diketahui.

Seorang pegawai keselamatan Dubai, Dahi Khalfan memuat naik gambar di Twitter yang menunjukkan api di bawah belebas tingkap hotel itu yang dirakam seorang jurugambar penyiasat jenayah polis.

“Di sinilah siasatan bermula,” katanya.

Saksi menceritakan suasana panik ketika api merebak dengan penghuni hotel menjerit dan ada yang pengsan ketika bergegas meninggal bangunan itu.

Pihak berkuasa memberitahu, hanya 16 orang cedera dalam kejadian berkenaan.

Sekurangnya 14 orang cedera ringan, seorang mengalami kecederaan sederhana dan seorang lagi diserang sakit jantung ketika kebakaran, kata pihak berkuasa.

Sepanjang malam, beratus-ratus anggota bomba berusaha memadamkan kebakaran itu.

Pada pagi semalam, bangunan itu masih mengeluarkan asap walaupun api sudah dipadamkan sepenuhnya.

Hotel The Address Downtown dibuka pada Mei 2008 dan dimiliki syarikat gergasi hartanah Dubai, kumpulan Emaar.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 2 January 2016 @ 6:01 AM