Kuala Lumpur: Pelumba Terengganu Cycling Team (TSG) Nur Amirul Fakhruddin Mazuki (gambar) mahu meneruskan rentak cemerlang di Kejohanan Berbasikal Asia (ACC) di Jepun pada pertengahan bulan ini.

Nur Amirul menjadi sandaran utama untuk skuad lebuh raya negara di ACC selepas cemerlang bersama TSG pada Jelajah Asia.

Dia meraih dua gelaran Raja Bukit di Jelajah Malaysia dan Tour of Sharjah, satu pencapaian boleh dibanggakan terutama dengan kemampuannya menewaskan pelumba dari Iran yang terkenal dalam aspek pendakian.

Kayuhan cemerlang Nur Amirul sekali lagi ditagih untuk menghadapi laluan berbukit di ACC dengan perlumbaan sejauh 150 kilometer bakal diharungi.

“Jurulatih negara (Syed Mohd Husaini Syed Mazlan) ada menerangkan mengenai laluan di ACC seperti berbukit, lurus dan berlangsung secara pusingan.

“Berdasarkan penerangan lisan, laluan seperti itu memang menjadi kegemaran saya. Saya akan memberikan yang terbaik untuk negara,” kata pelumba berusia 23 tahun itu.

Bagaimanapun Nur Amirul enggan meletakkan sebarang sasaran tinggi kerana ia penampilan pertamanya bersama skuad kebangsaan.

“Saya akan berlumba dengan pelumba berstatus kebangsaan buat kali pertama di ACC. Sudah pasti ia berbeza, sukar untuk meramalkan apa yang berlaku nanti.

“Pada masa sama cuaca juga amat sejuk ketika perlumbaan,” tambahnya.

Pelumba berpengalaman Ahmad Fauzan Mohd Lutfi dijangka membantu Nur Amirul selain kehadiran Mohd Shahrul Mat Amin, Mohd Saiful Anuar Aziz dan Nik Mohd Azwan Zulkifle.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 1 January 2016 @ 7:35 AM