SHAMSUL Anuar  (empat dari kanan) bersama kanak-kanak yang menerima sumbangan pada majlis Aidilfitri, semalam.
SHAMSUL Anuar (empat dari kanan) bersama kanak-kanak yang menerima sumbangan pada majlis Aidilfitri, semalam.
J Dolasoh


Lenggong: Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dalam proses perbincangan dengan pelbagai pihak yang berkepentingan, termasuk institusi kewangan bagi menyelesaikan kemelut peminjam disenarai hitam yang sukar mendapat pinjaman kenderaan dan perumahan.

Pengerusinya, Datuk Shamsul Anuar Nasarah berkata, antara tindakan proaktif yang sudah dilaksanakan adalah dengan menyertai siri jelajah bersama Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) dan MyHouse serta menyediakan platform rundingan bagi menyelesaikan masalah yang dihadapi.

“Kami akan adakan perjumpaan dan rundingan bagi menyelesaikan masalah itu dalam tempoh terdekat dan berharap semua pihak sama ada peminjam dan pihak yang berkepentingan akan berpuas hati.

“PTPTN turut menerima rungutan dan pandangan negatif daripada beberapa penggiat industri kenderaan yang mendakwa jualan mereka terjejas akibat langkah yang diambil PTPTN.

“PTPTN menafikan ia berpunca daripada PTPTN saja, kerana banyak lagi faktor lain turut menyumbang dalam masalah itu, ” katanya pada sidang media selepas menghadiri Jamuan Rakyat Aidilfitri Parlimen Lenggong di Dataran Taman Kota Tampan, Lenggong, di sini, semalam.

Kira-kira 20,000 pengunjung hadir pada majlis itu yang bermula jam 11 pagi hingga 4 petang dan diserikan dengan persembahan artis.

Shamsul Anuar yang juga Ahli Parlimen Lenggong berkata, perbincangan secara bijak bersama PR1MA atau syarikat penjual kereta penting bagi memastikan masalah kegagalan bekas peminjam PTPTN mendapatkan pinjaman dapat diselesaikan melalui rundingan.

“Ini membolehkan impian untuk mereka (peminjam disenaraihitam) untuk memiliki rumah dan kereta tercapai, jadi jangan takut untuk bertemu dan berbincang dengan pegawai PTPTN di 60 cawangan di seluruh negara.

“Pada masa sama, saya menyeru peminjam terutama yang sudah disenaraikan dalam Sistem Maklumat Rujukan Kredit Pusat (CRISS) supaya menjalankan tanggungjawab sebagai peminjam dengan melunaskan semula dan membayar pinjaman PTPTN,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 Ogos 2016 @ 5:17 AM