Oleh Erywan Norshal.

Sejak diperkenalkan pada 1976, Volkswagen Golf menjadi antara model paling popular dan berjaya bagi pengeluar kenderaan asal Jerman itu.

Tidak dilupa juga bagi model 'GTI', ia adalah varian tambahan dan sungguh menarik selepas disuntik elemen sport sekali gus menjadi jentera kegilaan seluruh peminat automotif global.

Biarpun hadir dengan bentuk 'hatchback' ringkas, ia sebenarnya sudah bertukar menjadi jentera yang mantap di jalan raya.

Bagi generasi ketujuh Volkswagen Golf GTI ini, ia banyak perbezaan terutama di bahagian enjin.

Ia dipadankan enjin generasi ketiga berkod EA888 berkapasiti dua liter dijanakan kuasa turbo yang banyak menyumbang ke arah kejayaan Golf GTI ini.

Kenderaan diimport dari Jerman ini dipertingkatkan kuasa maksimum sehingga 10 PS menjadikan sepenuhnya 220 PS, manakala torknya meningkatkan 350 Nm berbanding 280 Nm bagi generasi sebelum ini.

Jentera ini dikatakan mampu memecut sehingga 100 kilometer sejam (km/j) dalam masa 6.5 saat berbanding sebelum ini 6.9 saat.

Penulis menikmati pengalaman menarik ketika memandu uji kenderaan ini dari Kuala Lumpur ke Kota Bharu, Kelantan yang menawarkan pelbagai laluan menarik membabitkan lebuh raya dan Jalan Persekutuan.

Di lebuh raya, jentera ini boleh diibaratkan sebagai 'raja pecut' kerana tidak sedikit pun kekurangan kuasa untuk memandu pada tahap kelajuan maksimum sehingga 220 kilometer sejam (km/j), boleh dikatakan cukup mudah mencapainya.

Sebenarnya, penulis terkejut apabila melihat jarum kelajuan ketika itu kerana tidak menyangka ia mampu memecut pada tahap berkenaan dengan jentera masih lagi stabil.

Ketika itu juga, sistem suspensinya 'bermain' dengan baik untuk memberi keselesaan kepada penumpang, selain kedapan bunyi yang mantap membuatkan tiada langsung kebisingan enjin atau geseran angin.

Ketika melalui laluan Persekutuan, penulis menggunakan mod sport, di mana kotak gearnya bekerja keras sebelum menukar gear lebih tinggi untuk memberi kuasa pecutan seperti jentera perlumbaan.

Setiap kali menukar gear, bunyi seakan-akan letupan keluar daripada peredam ekzosnya, seolah-olah ia menggunakan transmisi perlumbaan.

Adanya dengan teknologi terbaru 'Advanced Electronic Differential Lock XDS +' memberi pengendalian lebih baik, di mana kuasa tork diagih kepada tayar tertentu bagi memberi cengkaman ketika melakukan selekoh.

Jika berkongsi tahap penggunaan minyaknya, bagi penulis ia sebenarnya menjimatkan sekiranya memandu dengan kelajuan yang mematuhi peraturan ditetapkan.

Ini kerana, penulis hanya menggunakan tiga perempat tangki petrolnya untuk tiba Kota Bharu melalui perjalanan Lebuh Raya Pantai Timur menerusi Kuantan dan Kuala Terengganu.

Bagaimanapun ketika pulang ke Kuala Lumpur, penulis terpaksa mengisi separuh lagi tangki petrolnya kerana memandu melebihi kelajuan sepanjang perjalanan itu.

Sementara itu, reka bentuknya kelihatan hampir sama dengan varian Golf TSI generasi ketujuh tetapi bampar depan dan belakang ditukar serta rim menggunakan dimensi 18 inci dengan rekaan Austin supaya tampak lebih sporty.

Jentera ini turut menerapkan ciri-ciri klasiknya apabila dilengkapi jalur merah antara jeriji depan hingga perumah lampu depan, selain logo GTI ditampal pada sisinya.

Ketika menjengah bahagian dalamannya, stereng berbentuk separa bulat tampak unik, selain kerusinya dibaluti material kain, selain digabungkan corak berpetak-petak pada bahagian tengahnya.

Papan pemuka dan panel pintu turut menggunakan material lembut yang tampak mewah.

Kerusi ala 'bucket' membuatkan penulis rasa selesa dan stabil, selain tidak memenatkan ketika memandu dalam perjalanan jauh.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 11 Oktober 2014 @ 8:53 PM