HANYA 20 unit dihasilkan.
HANYA 20 unit dihasilkan.
MENJANA 330hp.
MENJANA 330hp.
Erywan Norshal


Hanya 20 unit Volkswagen Golf GTI TCR dihasilkan khas oleh Volkswagen Motorsport bagi menyertai perlumbaan Siri Antarabangsa TCR yang bakal bermula di Bahrain pada 1 April depan.

Malah, Litar Antarabangsa Sepang turut berada dalam kalender perlumbaan itu di mana ia dijangka diadakan antara 30 September sehingga 2 Oktober depan.

Penghasilan kenderaan berprestasi itu dilakukan sempena menyambut ulang tahun ke-40 Volkswagen Golf GTI sejak diperkenalkan pada 1976.

Jentera perlumbaan yang dibangun menggunakan model generasi ketujuh itu menggunakan enjin 2.0 liter empat silinder sebaris dengan pancitan terus bahan api daripada varian Golf R.

Bagaimanapun, varian perlumbaan itu menyalurkan kuasa maksimum 330hp dengan tork setinggi 410Nm.

Kuasa itu disalurkan kepada roda hadapan dengan menggunakan transmisi enam kelajuan berurutan yang boleh ditukar tombol gear dipasang pada stereng.

Difahamkan kenderaan itu hanya mencatatkan 5.2 saat bagi 0-100 kilometer sejam (km/j) dengan kelajuan maksimum mencecah 230 km/j.

Penampilannya pula tampak dinamik berasaskan genetik perlumbaan dengan padanan rim 18 inci serta casisnya lebih lebar sehingga 40 sentimeter daripada Golf biasa.

Ia juga dilengkapi beberapa aksesori hadapan serta spoiler belakang tinggi supaya lebih aerodinamik bagi kegunaan dalam litar, selain mematuhi piawaian keselamatan Persekutuan Automobil Antarabangsa (FIA) selepas menggunakan kerusi perlumbaan dengan pelindung kepala.

Jentera perlumbaan itu diserahkan kepada pasukan masing-masing pada 11 Mac lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 20 Mac 2016 @ 5:01 AM