PERSEMBAHAN di Wangsa Maju.
PERSEMBAHAN di Wangsa Maju.
ARIFF bergelar juara pada pertandingan Freestyler Football Championship Singapura baru-baru ini.
ARIFF bergelar juara pada pertandingan Freestyler Football Championship Singapura baru-baru ini.

FATIN FARHANA JAPRE puji semangat seorang anak muda yang mahu mengukir nama Malaysia dalam persada bola sepak gaya bebas.

Kerja kerasnya seawal usia enam tahun menerusi sukan bola sepak gaya bebas sememangnya membuahkan kejayaan besar buat Muhammad Ariff Abd Karim, 23, atau lebih dikenali sebagai Ariff Karim.

Ini kerana kini dia menduduki tangga ke-19 dalam senarai dunia dan tangga teratas di Malaysia dalam sukan berkenaan.

Oleh itu, kelibatnya dalam sukan ini tidak asing lagi dalam kalangan anak muda yang mempunyai hobi serupa. Jika dulu sukan bola sepak gaya bebas ini dimain sekadar menghabiskan masa lapang. Namun kini Ariff Karim menjadikannya sebagai karier sepenuh masa.

Penulis bangga dengan kemahiran dimiliki anak muda ini kerana aksi akrobatik menimang bola menggunakan badan, kepala, dada serta kaki bukan mudah untuk dilakukan.

Melainkan berusaha keras untuk mahir dan tidak ramai pemain bola sepak tempatan atau antarabangsa yang memiliki kemahiran sebegitu.

Menurutnya, kejayaannya hari ini tidak akan berhasil tanpa bantuan idolanya yang dikenali sebagai Dr Freestyler Malaysia atau nama sebenarnya Mohd Shuhaimi Mohd Khizari.

Tanpa tunjuk ajar idolanya dalam sukan bola sepak gaya bebas tidak mungkin dia menjadi generasi pelapis kedua sukan ini di Malaysia.

“Saya masih lagi membuat latihan dan tidak akan berhenti demi mencapai cita-cita saya untuk menempah nama di tangga teratas dalam senarai dunia. Bimbingan idola saya juga menjadikan aksi saya lebih lincah dalam mengorak langkah ketika beraksi.

“Saya lebih kepada aksi akrobatik dan penari jalanan sebab saya beraksi banyak untuk persembahan di majlis. Sekarang saya mempersiapkan diri untuk pertandingan di Prague, Republik Czech pada tahun hadapan,” kata anak kedua daripada enam beradik ini.

Katanya lagi, bola sepak gaya bebas sangat berbeza kerana ia mempunyai keseniannya yang tersendiri. Bola sepak pemain beraksi mengejar dan menyepak bola di padang, tetapi sukan ini boleh dijadikan seperti tarian atau pementasan.

“Kini saya merancang menganjurkan satu pementasan bola sepak gaya bebas apabila penonton boleh menjiwai. Hanya menggunakan bola penonton boleh memahami jalan cerita yang mahu disampaikan,” kata anak kelahiran Kuala Lumpur ini.

Sepanjang membabitkan diri dalam sukan ini, lebih RM25,000 sudah dilaburkan bagi menempah nama hingga ke persada dunia.

Selain itu, ada juga pihak yang menaja perjalanan dan perbelanjaannya apabila beraksi di luar negara. Ariff Karim juga turut menerima jemputan untuk melakukan persembahan dengan harga dari RM2500 mengikut masa yang dimahukan.

“Saya pernah melalui detik sukar apabila terpaksa mengumpul dana sendiri untuk menyertai kejohanan di luar negara. Saya menggunakan semua duit simpanan yang ada atas dasar kecintaan yang mendalam dalam sukan ini.

“Sekarang, selain menerima jemputan untuk persembahan, saya juga menjual baju secara atas talian menggunakan jenama Legenda Freestyle Football dan menganjurkan kelas persendirian di Subang Jaya,Selangor. Perancangan akan datang pula, saya bercadang mempunyai akademi sendiri, tetapi mahu fokus sepenuhnya dulu pada karier saya,” katanya.

Ariff Karim juga berharap sukan ini mendapat tempat seiring dengan sukan lain oleh Kementerian Belia dan Sukan kerana baginya sukan ini berpotensi untuk membawa nama Malaysia di persada dunia. Dia juga berhasrat mengelilingi dunia dengan bola sepak.

Anak mudah ini yang turut tersenarai lima terbaik di Asia selepas siri jelajah di lima negara iaitu Vietnam, Singapura, India, Indonesia dan Brunei.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 28 Disember 2015 @ 5:00 AM