MUHAMMAD Asnawi menunjukkan kemahiran melakukan trik bola sepak gaya bebas. FOTO Ihsan Muhammad Asnawi Md Nizam
MUHAMMAD Asnawi menunjukkan kemahiran melakukan trik bola sepak gaya bebas. FOTO Ihsan Muhammad Asnawi Md Nizam
Redzuan Muharam

Kota Bharu: "Main macam ini boleh dapat apa je?"

Itu soalan berbaur sindiran pernah diterima prebet Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Muhammad Asnawi Md Nizam, 28, yang aktif dalam bola sepak gaya bebas atau 'freestyle football'.

Bagaimanapun, kata-kata itu langsung tidak mematahkan semangat Muhammad Asnawi untuk terus aktif berikutan sukan itu sudah jadi minat dan sebati dalam dirinya.

Pemuda kelahiran Kluang, Johor itu juga pernah membuktikan pembabitannya tidak sia-sia dan bukan sekadar jaguh kampung kerana pernah menjadi johan bersama rakan sepasukan ketika mewakili negara dalam sebuah kejohanan bola sepak gaya bebas di Indonesia.

Bercerita lanjut, Muhammad Asnawi yang berkhidmat di Kem Desa Pahlawan, Kok Lanas, di sini berkata, minat terhadap bola sepak gaya bebas tercetus sejak berumur 13 tahun lagi selepas menonton video pemain sukan berkenaan di YouTube.

"Bertitik tolak daripada situ, saya ada keinginan nak mencuba namun hanya mula serius selepas tamat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

"Tak ada siapa pun ajar sebaliknya saya berlatih sendiri dengan berbekalkan kasut sukan dan bola.

"Mulanya ikut gaya yang pemain lain buat namun lama kelamaan saya cipta trik sendiri. Minat menyebabkan saya terjebak dengan sukan itu sampai ke hari ini," katanya ketika dihubungi Harian Metro.

MUHAMMAD Asnawi pernah mewakili negara dalam kejohanan bola sepak gaya bebas di Indonesia. FOTO Ihsan Muhammad Asnawi Md Nizam
MUHAMMAD Asnawi pernah mewakili negara dalam kejohanan bola sepak gaya bebas di Indonesia. FOTO Ihsan Muhammad Asnawi Md Nizam

Lantaran terikat dengan komitmen kerja, Muhammad Asnawi memperuntukkan tiga hari saja dalam seminggu untuk latihan.

Setakat ini, Muhammad Asnawi dapat membahagikan masa dengan baik namun mengakui sukan berkenaan tidak semudah disangka.

"Nak buat satu trik pun tak tak mudah kerana sampai satu tahap, saya berasa nak putus asa tapi teruskan sebab minat.

"Kepuasannya apabila dapat buat trik yang diinginkan malah kejayaan itu jadikan saya 'ketagih' serta ada keinginan buat lagi dan lagi.

"Cuma, belum ramai nampak sukan ini berbanding bola sepak dan futsal yang lebih jadi pilihan," katanya.

Menyedari kurangnya pendedahan, Muhammad Asnawi berkongsi videonya melakukan trik imbangan bola di TikTok dengan harapan dia dapat memperkenalkan lagi sukan berkenaan kepada umum.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 21 April 2024 @ 7:01 AM