MOHD  Eqbal Ab Rahim bersama   Idlan   (kanan) menunjukkan aksi bebas di Gelanggang Kita Juara pada Karnival Wow di Stadium Nasional Bukit Jalil.
MOHD Eqbal Ab Rahim bersama Idlan (kanan) menunjukkan aksi bebas di Gelanggang Kita Juara pada Karnival Wow di Stadium Nasional Bukit Jalil.
BAKAT  menimbang bola   kanak-kanak antara aktiviti     pada Karnival Wow sempena Sambutan Ulang Tahun UMNO ke-71.
BAKAT menimbang bola kanak-kanak antara aktiviti pada Karnival Wow sempena Sambutan Ulang Tahun UMNO ke-71.
Asrizal Aris

Kuala Lumpur: Bermain bola sepak sambil berhibur dan berfikir. Itu yang diketengahkan pemain bola sepak gaya bebas (freestyler football) dalam Klinik Freestyler Kita Juara pada Karnival Wow di Stadium Nasional Bukit Jalil, di sini.

Dalam karvinal sempena sambutan Majlis Ulang Tahun UMNO ke-71 itu, gerai Gelanggang Kita Juara turut mengadakan pelbagai aktiviti seperti pertandingan street soccer, pertandingan timbang bola dan sesi ramah mesra bersama pemain bola sepak tanah air.

Penimbang bola sepak gaya bebas, Idlan Baharin, 33, berkata, selain pertandingan dan persembahan, Gelanggang Kita Juara mengadakan klinik untuk mengajar teknik bermain bola sepak gaya bebas yang santai dan menghiburkan.

“Freestyler (bola sepak gaya bebas) berbeza dengan bermain bola sepak di padang kerana tidak memerlukan kekuatan fizikal yang tinggi sebaliknya ia lebih kepada cara berfikir dan berhibur.

“Oleh itu, selain mendidik peminat bola sepak untuk menjadi pemain yang berdisiplin, freestyler mengajar untuk mengatasi tekanan,” katanya ketika ditemui di Karnival Wow di Stadium Nasional Bukit Jalil, di sini, semalam.

Menurutnya, Gelanggang Kita Juara di karnival yang berlangsung selama dua hari yang berakhir hari ini turut menampilkan Duta Kita Juara, Akmal Rizal Ahmad Rakhli yang menjadi hos bersama Faiz Tapaw.

Sementara itu, Akmal Rizal ketika ditemui berkata, Akademi Bolasepak Akmal Rizal yang berpusat di Jitra, Kedah sudah memasuki tahun yang kedua dan semakin mendapat sambutan menggalakkan.

“Akademi yang memberi latihan bola sepak kepada pemain muda berusia 13 hingga 17 tahun itu semakin mendapat tempat dan berjaya melahirkan beberapa pemain yang berkualiti.

“Sepanjang program di Gelanggang Kita Juara ini, saya akan berkongsi pengalaman saya sebagai bekas pemain bola sepak kebangsaan dan tips untuk menjadi pemain yang berbakat,” katanya.

Menurut bapa kepada enam anak itu, sepanjang dua hari karnival, Gelanggang Kita Juara mengadakan Mini Konsert Kita Juara yang menampilkan beberapa artis serta perlawanan street soccer antara pasukan Kita Juara dan Artis Jemputan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 Mei 2017 @ 3:21 AM