ASSALAMUALAIKUM, Salam sejahtera dan salam 1Malaysia kepada semua peminat bola sepak tanah air.

Sebelum memulakan berbicara, saya ingin mengambil kesempatan untuk mengucapkan sejuta tahniah dan selamat pengantin baru kepada Presiden Persatuan Bola Sepak Johor merangkap Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim bersama Cik Khaleeda Bustaman.

Moga-moga baginda bersama pasangan kekal bahagia dan sejahtera sehingga ke anak cucu selain saya yakin Tunku Ismail akan terus berusaha memartabatkan bola sepak negara.

Minggu ini, saya tertarik untuk membincangkan mengenai pengharaman Persatuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) mengenai gaya ‘somersault’ atau dalam Bahasa Melayu, aksi akrobatik pemain bola sepak ketika meraikan jaringan.

Bulan lalu, aksi itu mengorbankan seorang pemain dari Liga India, Peter Biaksangzuala yang meninggal dunia ketika meraikan jaringan buat pasukannya, Vengthlang FC.

Saya juga mengikuti perkembangan bola sepak dunia dan sejujurnya, saya menyokong tindakan FIFA yang mengharamkan aksi mudarat kepada gaya meraikan jaringan pemain-pemain.

Umum mengetahui bahawa bola sepak adalah sukan yang paling memiliki ramai peminat di dunia dan saya khuatir, jika pemain kita membuat perkara yang sama, saya bimbang gaya tersebut akan menjadi ikutan penyokong fanatik terutama melibatkan peminat cilik.

Ia kerana mereka sentiasa mengagumi dan mahu mengikut setiap kelakuan yang dilakukan pemain pujaan dan apa yang pasti, jika pemain itu membuat kelakuan tidak sihat, tidak mustahil mereka akan mengikut setiap jejak pemain pujaan mereka.

Jadi, saya fikir lebih baik kita mencegah sebelum perkara buruk berlaku dan saya berpendapat, banyak cara yang lebih bagus untuk meraikan jaringan tanpa melakukan sebarang aksi merbahaya kepada diri sendiri atau kepada penyokong.

Saya faham mereka begitu gembira dan mahu berkongsi perasaan itu dengan cara penuh unik tetapi biarlah berpada-pada kerana setiap perbuatan itu pasti ada kesannya.

Bagi pihak Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), saya mendapati tidak ramai pemain kita menggunakan gaya itu tetapi pihak kami juga tidak menolak kemungkinan mengenakan denda jika ada pemain menggunakan cara merbahaya ketika meraikan jaringan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 9 November 2014 @ 5:05 AM