JUALAN amal ayam segar RM12 seekor di Pasar Sunday Masjid Ar-Rahman Kampung Pulai, Serkam, Jasin mendapat sambutan menggalakkan daripada orang ramai. FOTO AMIR MAMAT
JUALAN amal ayam segar RM12 seekor di Pasar Sunday Masjid Ar-Rahman Kampung Pulai, Serkam, Jasin mendapat sambutan menggalakkan daripada orang ramai. FOTO AMIR MAMAT
Amir Mamat


Jasin: Harga ayam segar naik mendadak di Melaka sejak minggu lalu, tidak menghalang Jawatankuasa Masjid A-Rahman Kampung Pulai, Serkam, di sini, untuk menjual bahan mentah itu pada harga murah.

Dijual dengan harga RM12 seekor, inisiatif dilaksanakan jawatankuasa masjid berkenaan menerusi program jualan amal Pasar Sunday itu mendapat sambutan ramai.

Malah, pelanggan bukan saja dalam kalangan penduduk Kampung Pulai dan sekitarnya, malah peniaga dari Bandaraya Melaka serta Jasin turut mengambil peluang dengan tawaran murah berkenaan.

Tidak sampai sejam, kira-kira 1,000 ayam segar dijual di perkarangan Masjid Jamek Ar-Rahman itu 'licin', malah ada mula membuat tempahan awal untuk mendapatkan bekalan terbabit pada program diadakan setiap Ahad itu.

Pengerusi Jawatankuasa Masjid Jamek Ar-Rahman Kampung Pulai, Rizal Ramli berkata, pihaknya berusaha menjual barangan keperluan harian pada harga paling minimum, bergantung kepada harga pembelian ditawarkan pembekal.

Katanya, kebiasaannya, pembekal akan menawarkan harga murah berdasarkan situasi harga pasaran semasa, namun pihaknya tetap berusaha untuk mendapatkan bekalan berkenaan pada harga paling murah sebelum dijual kepada penduduk kampung.

"Kebiasaannya, barangan diperoleh dengan harga murah, kami akan jual dengan harga murah dan sudah pasti ia sangat berbeza dengan harga pasaran semasa.

"Langkah ini bagi memastikan penduduk tidak terbeban dengan kenaikan mendadak harga barangan keperluan harian seperti ayam yang pada ketika ini sangat mahal, sekali gus membebankan pengguna," katanya ketika ditemui di Pasar Sunday, hari ini.

Beliau berkata, hasil jualan barangan keperluan harian itu akan dimasukkan ke tabung Masjid Jamek Ar-Rahman bagi membolehkan aktiviti keagamaan dan kemasyarakatan dilaksanakan dengan sempurna.

Di Pasar Sunday itu, telur ayam dijual pada harga RM9 sepapan, berbanding RM11 sepapan di pasaran.

Pasar Sunday dianjurkan Jawatankuasa Masjid Jamek Ar-Rahman Kampung Pulai sejak beberapa bulan lalu dengan menjual barangan keperluan harian seperti ayam segar, telur, ikan kembung, pelaling serta buah-buahan termasuk buah naga dan jagung pada harga sangat berpatutan.

Program itu turut mendapatkan kerjasama Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan 1, Datuk Seri Ahmad Hamzah; Exco Pertanian, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Industri Asas Tani negeri, Datuk Norhizam Hassan Baktee serta Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Serkam, Datuk Zaidi Attan.

Minggu lalu, media melaporkan, harga ayam segar di pasar basah di negeri ini naik mendadak sehingga RM10 sekilogram sehingga membimbangkan peniaga serta pengguna.

Keadaan itu membebankan pengguna terkejut harga tinggi itu berlaku secara tiba-tiba, berbanding minggu sebelumnya apabila ayam segar dijual sekitar RM5.90 hingga RM6.80 sekilogram.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 12 September 2021 @ 4:54 PM