Kuala Lumpur: Majlis Sukan Negara (MSN) menegaskan layanan sama rata diberikan terhadap atlet negara berdepan isu doping.

Ketua Pengarah MSN Datuk Ahmad Shapawi Ismail berkata, tiada istilah ‘pilih kasih’ atau sebagainya apabila menangani isu doping termasuk membabitkan jaguh bina badan negara Sazali Samad.

“Ada yang membandingkan layanan terhadap Sazali dengan Datuk Lee Chong Wei. Namun saya ingin menjelaskan layanan diberikan sama rata. Begitu juga dengan atlet lain yang berdepan isu doping.

“Kami turut menggantung keistimewaan Chong Wei sebagai atlet ketika isu doping membabitkan dirinya,” katanya.

Jelas Ahmad Shapawi, apa yang membezakan kedua-dua kes adalah jaguh badminton negara itu tidak mengaku bersalah dan mahu menguji sampel B.

“Ia menyebabkan bantuan seperti khidmat peguam diberikan kepadanya. Namun Sazali sebaliknya, jadi secara tidak langsung dia mengakuinya.

“Jadi apabila digantung dia bukan lagi atlet dan tidak layak mendapat keistimewaan kami. Dia kini orang biasa di mata MSN,” jelasnya.

Selain bergelar atlet, Sazali turut berkhidmat bersama MSN sebagai penyelia asrama sejak September lalu selepas diserapkan perkhidmatannya daripada PDRM.

“MSN tidak akan mengambil sebarang tindakan sehingga mendapat maklumat terperinci PBBM (Persekutuan Bina Badan Malaysia). Kami masih menunggu laporan siasatan.

“Sazali juga dijangka memberikan penjelasan dan selepas itu, kita akan memikirkan tindakan terbaik menangani isu berkenaan,” tambahnya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 23 Disember 2015 @ 10:29 AM