Oleh Azlan Muhammad Zain


Kuala Lumpur: Jaguh bina badan negara Sazali Samad (gambar) menerima ‘hukuman awal’ susulan kegagalannya dalam ujian doping yang dijalankan September lalu.

Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN) Datuk Ahmad Shapawi Ismail mengesahkan sudah dimaklumkan secara lisan oleh Persatuan Bina Badan Malaysia (PBBM) berhubung perkara itu dan pihaknya sudah bertindak menggantung segala kemudahan yang diperoleh Sazali.

“Kami di MSN sungguh kecewa dengan apa yang sudah berlaku walaupun kami belum menerima laporan rasmi. Bagaimanapun kami sudah mengambil tindakan awal dengan menggantung segala keistimewaan yang diterimanya sebagai atlet.

“Ini bermaksud dia tidak akan mendapat elaun latihan, logistik, makanan, pembiayaan pertandingan, jurulatih, makanan tambahan, perkhidmatan sokongan kepakaran sains dan perubatan sukan.

“Sazali yang baru saja diserapkan dalam perkhidmatan MSN akan diberikan tugas biasa hingga kami menerima laporan PBBM berhubung tindakan atau hukuman yang akan dikenakan terhadap Sazali,” kata Shapawi.

Sazali kelmarin dilaporkan adalah atlet berprofil tinggi yang gagal ujian doping dijalankan Agensi Anti-Doping Malaysia (ADAMAS) September lalu.

Keputusan ujian itu menunjukkan positif mengandungi steroid sekali gus berdepan penggantungan empat tahun menurut peraturan yang ditetapkan Agensi Anti-Doping Dunia (WADA).

Bahan terlarang itu dipercayai wujud menerusi ubat-ubatan atau makanan tambahan yang dibelinya dari Amerika Syarikat.

“Saya ingin menegaskan kepada atlet negara supaya sentiasa mematuhi arahan dan nasihat yang diberikan Institut Sukan Negara (ISN) berhubung pengambilan ubat-ubatan dan makanan tambahan dan mereka seharusnya menjadikan ISN sebagai rujukan berterusan,” jelasnya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 18 Disember 2015 @ 5:24 AM