ZULFAHMI masih berbincang dengan pasukan dari luar negara.
ZULFAHMI masih berbincang dengan pasukan dari luar negara.
Oleh Saiful Affendy Sapran

Kuala Lumpur: Bekas pelumba Moto3 negara Zulfahmi Khairuddin mengesahkan kemungkinan beraksi dalam saingan Kejuaraan Superbike Dunia (WSBK) kategori Supersport musim depan.

Pelumba yang beraksi selama enam musim dalam saingan Kejuaraan Motosikal Dunia (MotoGP) itu berkata, ketika ini, perbincangan serius sedang dilakukan bersama sebuah pasukan dari luar negara.

“Saya tidak dapat mengumumkannya secara rasmi lagi. Tapi ketika ini, itu hala tuju saya tahun depan iaitu beraksi dalam saingan WSBK.

“Saya tidak boleh berasa lega lagi kerana perbincangan sedang dilakukan dengan mengambil kira objektif dan perancangan kedua-dua pihak.

“Butiran lanjut mengenai pasukan dan sebagainya masih belum jelas,” katanya ketika dihubungi semalam.

Pelumba kelahiran Banting itu juga mengakui sebelum ini dia turut mempunyai perancangan untuk beraksi dalam saingan Kejuaraan Motosikal Asia (ARRC).

“Tapi tiada pasukan yang benar-benar memberikan tawaran secara serius. Mungkin juga daripada segi tajaan, ia lebih ‘kuat’ di WSBK.

“Jika segala-galanya berjalan lancar, pastinya saingan itu satu pengalaman baru buat saya.

“Walaupun pernah beraksi di MotoGP, tapi untuk menunggang motor dengan kuasa lebih besar pastinya lebih sukar,” katanya.

Zulfahmi meraih beberapa kejayaan sepanjang enam musim beraksi dalam MotoGP tetapi berikutan prestasi kurang memberangsangkan, dia gagal meneruskan kariernya dalam saingan berprestij itu dengan pasukan terakhir diwakilinya SIC Racing Team tahun lalu.

Sejak itu, belum ada perancangan jelas mengenai masa depannya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 23 Disember 2015 @ 9:16 AM