SEPASANG suami isteri menunggang motosikal di jalan raya di Beijing dengan menggunakan topeng mulut, semalam.
SEPASANG suami isteri menunggang motosikal di jalan raya di Beijing dengan menggunakan topeng mulut, semalam.

Shanghai: Pihak berkuasa China mengeluarkan amaran merah buat kali kedua dalam masa sebulan selepas bandar itu dijangka diselubungi pencemaran teruk dari Sabtu hingga Selasa depan.

Amaran itu sekali gus membawa kepada reaksi kecemasan seperti mengehadkan penggunaan kereta dan penutupan sekolah.

Selepas berdekad berdepan pertumbuhan ekonomi tidak terkawal, kepemimpinan China mengambil tindakan tegas untuk mengurangkan tahap pencemaran udara, air dan tanah termasuk asbut yang melanda bandar besar negara itu.

Amaran merah kali kedua itu dikeluarkan selepas perjanjian mengenai perubahan iklim dicapai di Paris awal bulan ini, menetapkan tempoh peralihan penggunaan bahan api daripada fosil untuk menangani krisis pemanasan global.

Amaran merah pertama dikeluarkan 7 Disember lalu dengan mengehadkan kenderaan dan menghentikan kerja pembinaan.

Dalam satu kenyataannya, Perkhidmatan Kaji Cuaca Beijing berkata, penggunaan kenderaan perlu dihadkan dan aktiviti pembakaran bunga api dan barbeku di luar diharamkan.

Mereka turut mengesyorkan sesi persekolahan dibatalkan.

Penduduk bandar sebelum ini mengkritik pihak berkuasa kerana lewat mengeluarkan amaran merah bagi asbut yang sering melepasi tahap bahaya indeks pencemaran.

Banyak bandar di China mengalami indeks pencemaran kritikal. Shanghai mengharamkan aktiviti luar dan pihak berkuasa mengehadkan kerja di kawasan pembinaan dan kilang awal minggu ini. - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 19 Disember 2015 @ 8:30 AM