Seorang wanita mengelap peluh berikutan cuaca panas di Shanghai, China. - FOTO EPA
Seorang wanita mengelap peluh berikutan cuaca panas di Shanghai, China. - FOTO EPA
Reuters

Shanghai: Buat kali ketiga pada musim panas ini, bandar Shanghai yang paling ramai penduduknya di China mengeluarkan amaran tertinggi untuk kepanasan melampau.

Hab komersil dan perindustrian dengan 25 juta penduduk mengisytiharkan amaran merah pada Khamis, memberi amaran suhu dijangka sekurang-kurangnya 40 Celsius dalam 24 jam akan datang.

Suhu melonjak setinggi 40.6 Celsius pada sebelah petang, tetapi kurang daripada 40.9 Celsius pada Rabu, yang menyamai rekod 2017.

Setakat jam 5 petang waktu tempatan, amaran merah Shanghai berkuat kuasa di mana kerja pembinaan dan kerja luar lain perlu dikurangkan atau dihentikan.

Shanghai telah mengeluarkan tiga amaran merah dalam tempoh lima hari yang lalu, walaupun ini adalah kejadian yang agak jarang berlaku, dengan hanya 17 amaran dikeluarkan sejak penyimpanan rekod bermula pada 1873.

Cuaca panas yang berlaku di saat ujian besar-besaran untuk Covid-19 dijalankan di beberapa daerah, menambah sengsara penduduk dan pekerja kesihatan yang memakai sut pelindung.

Sesetengah petugas melekatkan botol berisi air beku pada sut hazmat mereka, manakala yang lain duduk di sebelah bongkah ais yang besar untuk menyejukkan badan.

"Sut ini sangat panas," Peng Lei, yang bekerja di satu tapak ujian, memberitahu Reuters.

"Baju tak pernah kering. Sepanjang hari basah dengan peluh."

Sesetengah komuniti mula menjalankan ujian pada waktu petang apabila cuaca sedikit sejuk.

Musim panas luar biasa bulan lalu telah menjejaskan separuh daripada China.

Lembangan Sungai Yangtze, yang merangkumi bandar-bandar besar dari Shanghai ke Chongqing di kawasan tengah telah dilanda gelombang panas sepanjang minggu lalu.

Menjelang 5 petang, 86 amaran merah telah diisytiharkan di seluruh China, kebanyakannya di lembangan Yangtze.

Permintaan yang lebih tinggi untuk penyaman udara mendorong beban kuasa maksimum China ke paras tertinggi sepanjang masa pada Selasa.

Pihak berkuasa berkata mereka melakukan segala usaha untuk memastikan bekalan tenaga sentiasa ada sepanjang tempoh permintaan puncak musim panas.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 Julai 2022 @ 6:54 PM