NIK Ali menyempurnakan majlis pelancaran SUKIPT 2016 di Dewan Sultan Iskandar di UTM, semalam.
NIK Ali menyempurnakan majlis pelancaran SUKIPT 2016 di Dewan Sultan Iskandar di UTM, semalam.
Oleh Mary Victoria Dass


Johor Bahru: Lima negara ASEAN mengesahkan penyertaan pada Sukan Institusi Pengajian Tinggi Malaysia (SUKIPT) 2016 di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) di Skudai, dari 25 Januari hingga 5 Februari depan.

Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan) Kementerian Pendidikan Tinggi Datuk Nik Ali Yunus berkata, lima negara itu adalah Thailand, Singapura, Brunei, Indonesia dan Myanmar.

Beliau berkata, atlet dari universiti negara itu dijangka mengambil bahagian dalam tujuh acara iaitu olahraga, renang, lawan pedang, sepak takraw, ragbi, pencak silat dan petanque.

“Penganjuran SUKIPT akan menyaksikan penyertaan atlet orang kurang upaya (OKU) dalam beberapa acara yang bertujuan melahirkan lebih ramai atlet golongan itu di samping memberi peluang kepada mereka mengasah bakat sekali gus memberi persaingan dalam sukan berkaitan,” katanya pada majlis pelancaran SUKIPT 2016, semalam.

Nik Ali berkata, penganjuran SUKIPT edisi ketiga mempertandingkan 25 acara sukan dengan jumlah keseluruhan 251 pingat emas menjadi rebutan 8,000 atlet daripada 117 kontinjen.

Beliau berkata, penganjuran SUKIPT 2016 adalah kesinambungan penganjuran temasya terdahulu iaitu pada 2012 yang menyaksikan Universiti Putra Malaysia (UPM) merangkul juara keseluruhan dan pada 2014 oleh Universiti Teknologi Mara (UiTM).

“Sukan antara universiti ini menjadi salah satu medan pemilihan atlet yang akan mewakili kontinjen negara ke Sukan Universiti ASEAN 2016 di Singapura dan Sukan Universiti Dunia 2016 di Kuala Lumpur,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 18 Disember 2015 @ 5:51 AM