MANGSA banjir, Zamariah Mat Said, 46, bersama anaknya Nur Alisha Shamsumajidi, 11, (tengah) dan Nur Alia Shamsumajidi, 12, (kiri) menunjukkan kucing peliharaan mereka yang diselamatkan di pusat pemindahan sementara di Dewan Sekolah Menengah Kebangsaan Meru, Klang. FOTO Nazran Jamel
MANGSA banjir, Zamariah Mat Said, 46, bersama anaknya Nur Alisha Shamsumajidi, 11, (tengah) dan Nur Alia Shamsumajidi, 12, (kiri) menunjukkan kucing peliharaan mereka yang diselamatkan di pusat pemindahan sementara di Dewan Sekolah Menengah Kebangsaan Meru, Klang. FOTO Nazran Jamel
Oleh Ayusliza Azizan


Shah Alam: Seramai 462 mangsa banjir membabitkan 129 keluarga masih ditempatkan di tujuh pusat pemindahan di seluruh Selangor sehingga jam 8 pagi tadi.

Jumlah itu berkurangan berbanding pagi semalam yang merekodkan 660 mangsa membabitkan 168 keluarga di 10 pusat pemindahan banjir.

Penolong Pengarah Operasi Bomba dan Penyelamat Selangor Mohd Sani Harul berkata, pusat pemindahan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Meru mencatatkan 129 orang daripada 30 keluarga sementara 62 penduduk membabitkan 13 keluarga berada di pusat pemindahan di Sekolah Kebangsaan Sultan Abdul Samad Pekan Kapar.

"Manakala di Surau Ladang Tuan Mee, Kuala Selangor mempunyai 32 mangsa daripada 10 keluarga dan di pusat pemindahan dewan orang ramai Genting Sanyen, Kuala Langat mempunyai 49 orang membabitkan 17 keluarga," katanya.

Menurutnya, di pusat pemindahan balai raya Kampung Parit Mahang terdapat 115 mangsa membabitkan 33 keluarga dan Sekolah Rendah Kampung Asahan seramai 51 orang daripada 13 keluarga.

Katanya, pusat pemindahan balai raya Kampung Bukit Kuching pula seramai 24 penduduk membabitkan lapan keluarga dipindahkan.

Menurutnya, pusat pemindahan Surau At-Taufikiah, Puncak Alam ditutup semalam.

Banjir di negeri itu membabitkan daerah seperti Klang, Kuala Selangor, Sepang dan Kuala Langat.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 17 Disember 2015 @ 1:26 PM