FUNGSI tablet sama dengan telefon.
FUNGSI tablet sama dengan telefon.
ANTARA peranti utama Android sejak dibangunkan - gambar kredit MobileMadHouse
ANTARA peranti utama Android sejak dibangunkan - gambar kredit MobileMadHouse
SYNC antara kenderaan dan peranti lebih lancar.
SYNC antara kenderaan dan peranti lebih lancar.
Oleh Afiq Hanif

Selepas melangkau huruf A dan B, Android memulakan trend dengan menamakan sistem operasinya yang bermula dengan huruf C, tetapi memilih nama penuh makanan tertentu daripada Cupcake, Donut, Eclair, Froyo, Gingerbread, Honeycomb, Ice Cream Sandwich, Jelly Bean dan KitKat.

Kalau diperhatikan, semuanya mempunyai rasa manis dan versi terbaru dengan huruf L pada 2014 meneruskan tradisi dan nasib baik ada manisan bermula dengan huruf terbabit iaitu Lollipop.

Seperti mudah dijangka, Android Lollipop dengan kod nombor 5 atau nama penuh Android 5.0 Lollipop membawa perubahan paling besar yang pernah dilakukan Android sejak diambil alih Google.

Ia boleh dilihat bermula dengan tiga butang utama Android seperti Home, Back dan Recent Apps yang mampu ditukar kepada ikon yang lebih asas iaitu segi tiga, bulat dan segi empat.

Dari aspek notifikasi, ia memberi kawalan lebih kepada pengguna seperti memilih mesej yang diterima dan laman sosial untuk dipaparkan di skrin yang ditutup atau 'lockscreen' dengan pilihan penting saja yang boleh mengatasi tetapan tadi.

Selain itu, Lollipop mampu memberi jangka hayat bateri lebih lama dengan fungsi tambahan penjimatan tenaga pada saat kecemasan.

Ia bermakna, anda dimaklumkan tempoh masa yang diperlukan untuk mengecas sebelum bateri benar-benar habis dan tempoh bateri dijangka penuh ketika mengecas.

Memandangkan kerisauan pengguna mengenai Android yang mudah bocor akibat virus dan kecurian data, Android menambah ciri keselamatan termasuk kemampuan mengaktifkan enkripsi data bagi melindunginya apabila telefon hilang.

Selain itu, terdapat arahan SELinux yang diaktifkan pada semua aplikasi bagi memastikan ia bebas virus dan malware.

Pada masa sama, lockscreen kini boleh dibuka dengan menggunakan peranti lain dengan meletakkannya berhampiran peranti seperti jam tangan ataupun kereta.

Sudah pasti, Android yang terkenal dengan perkongsian mudah kini menambah kemudahan kepada satu tahap lebih maju.

Ia kini mempunyai daftar masuk pelbagai pengguna apabila pemilik boleh meminjamkan peranti kepada rakan, namun tidak memerlukan mereka mendaftar masuk maklumatnya sendiri tanpa mendapat akses kepada informasi pemilik sendiri.

Malah, satu peranti boleh dikongsi bersama oleh pelbagai pengguna dengan daftar masuk berlainan.

Paling utama, Android Lollipop menjanjikan prestasi lebih baik apabila penggunaan ART, Runtime serba baru yang lebih pantas dan responsif.

Lollipop juga kini menyokong arahan 64 bit, membawakan prestasi komputer desktop ke tangan pengguna.

OS sama juga kini bersedia untuk disambungkan ke peranti lain seperti kenderaan dengan keupayaan Android Auto yang menghubungkan muzik, hubungan dan mesej terus skrin kenderaan anda tanpa perlu risau kerap melihat skrin telefon pintar sehingga membahayakan pemanduan.

Sehingga kini, Android Auto mendapatkan sokongan syarikat pengeluar kenderaan seperti Audi, Chevrolet, Mazda, Kia, Ford, Fiat, Honda, Nissan dan sebagainya.

Bagi peranti boleh pakai pula, Lollipop kini nampak serasi dengan jam pintar seperti G Watch, Gear Live, Moto 360, G Watch R, SmartWatch 3 dan ASUS ZenWatch selepas dikemaskini kepada Android terbabit.

Pengenalan tablet Nexus 9 yang menggunakan Android Lollipop 5.0 pula mengukuhkan faktor mudah alih dengan kerja melalui tablet lebih kemas. Anda berupaya beralih daripada berhibur ke kerja pejabat dengan penukaran fungsi yang lancar tanpa menghilangkan data.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 19 November 2014 @ 5:04 AM