Johor Bahru: Dua pemain Harimau Muda A Mohd Amer Saidin dan Mohd Fandi Othman akan menyertai Johor Darul Ta’zim (Johor DT) pada kempen Liga Malaysia (Liga M) musim depan.

Presiden Persatuan Bolasepak Negeri Johor (PBNJ) Tunku Ismail Sultan Ibrahim berkata, kedua-dua pemain sudah menyatakan persetujuan namun pemain tengah Gary Steven Robbat tidak dapat bersama skuad Harimau Selatan itu.

Selain itu, Tunku Ismail juga tidak menolak kelibat Zaquan Adha Abd Radzak akan kembali diserapkan dalam skuad Johor DT selepas semusim bersama Johor Darul Ta’zim II (JDT II) dalam saingan Liga Perdana.

“Pada mulanya saya inginkan Johor DT mendapatkan khidmat Gary, namun pemain itu tidak dapat bersama kami untuk musim depan. Cuma Amer dan Fandi akan bersama kami.

“Mengenai Zaquan Adha saya serahkan kepada jurulatih Bojan Hodak untuk membuat penilaian. Bagi saya pemain itu sudah menunjukkan peningkatan mendadak selepas pulih daripada kecederaan.

“Kita sudah mendapatkan khidmat Farizal Marlias, S Kunanlan, S Chanturu dan Junior Edlstal dan saya yakin mereka mampu menguatkan pasukan menghadapi play-off Liga Juara-Juara Asia (ACL), Februari tahun depan,” katanya.

“Kami merancang beberapa perlawanan persahabatan antarabangsa sama ada di Australia dan Singapura. Malah aksi persahabatan di Johor Bahru juga dirancang dan saya yakin pendedahan itu mampu memberi kekuatan kepada kami untuk mengharungi saingan musim depan,” katanya.

Beliau juga mengumumkan JDT II kini dibimbing Goran Paulic manakala skuad Piala Presiden dikendalikan legenda era 80an, Ervin Boban.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 19 November 2014 @ 5:04 AM