Pegawai Daerah Langkawi, Mohamad Subhi Abdullah (kiri sekali) menunjukkan lembu jantan sado yang diberi gelaran 'Kochi' yang akan menyertai Pertandingan Lembu Sado sempena Karnival Kebajikan Haiwan pada Majlis Pelepasan Pasukan Sado di Langkawi. FOTO HAMZAH OSMAN
Pegawai Daerah Langkawi, Mohamad Subhi Abdullah (kiri sekali) menunjukkan lembu jantan sado yang diberi gelaran 'Kochi' yang akan menyertai Pertandingan Lembu Sado sempena Karnival Kebajikan Haiwan pada Majlis Pelepasan Pasukan Sado di Langkawi. FOTO HAMZAH OSMAN
Hamzah Osman


Langkawi: Lembu jantan diberi nama 'Kochi' yang dimiliki seorang penternak di sini, bakal bertanding dalam Pertandingan Lembu Sado yang diadakan sempena Karnival Kebajikan Haiwan 2024 (KKH2024) di Alor Setar hujung minggu ini.

Pertandingan terbuka kepada penternak seluruh negara itu dianjurkan Jabatan Perkhidmatan Veterinar Kedah selama tiga hari di Taman Jubli Emas bermula Jumaat ini.

Penternak, Muhammad Yusuf Amin Masmawi, 22, berkata, Kochi yang juga lembu baka 'limousine' berusia dua tahun miliknya itu, pernah menjuarai Himpunan Lembu Sado Langkawi (HLSL) yang berlangsung pada Oktober lalu.

Katanya, lembu jantan itu dipeliharanya sejak berusia 10 bulan selepas dibeli dari seorang penternak di Terengganu.

"Sebelum ini lembu hibrid seberat 800 kilogram ini pernah dipilih sebagai juara peringkat tempatan dan saya berharap Kochi dapat merampas gelaran itu tahun ini.

"Difahamkan kira-kira 300 lembu sado akan dibawa penternak menyertai pertandingan di Alor Setar nanti dengan masing-masing mengimpikan gelaran juara," katanya ketika ditemui pada Majlis Pelepasan Pasukan Sado ke KKH2024 di sini, tadi.

Majlis pelepasan pasukan yang disertai lima lembu sado itu disempurnakan oleh Pegawai Daerah Langkawi, Mohamad Subhi Abdullah.

Selain Kochi, tiga lagi lembu sado baka limousine turut mewakili Langkawi iaitu Kachang, Mike' dan Lily selain seekor baka brahman dikenali sebagai Puteh.

Mohamad Subhi berkata, secara keseluruhan lima lembu sado mewakili Langkawi pada pertandingan KKH2024.

"Ada di antara lembu terbabit pernah menyandang gelaran juara dan naib juara peringkat tempatan, jadi kita yakin mampu mengulang kejayaan sama," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 Julai 2024 @ 4:33 PM