Keluarga kepada mangsa buli siber, mendiang R Thivyaanayagi, 20 membuat laporan polis bagi menuntut keadilan terhadap kematian wanita itu ekoran tidak tahan dengan kecaman warganet di Balai Polis Bukit Tengah, Bukit Mertajam. FOTO Ihsan Pembaca
Keluarga kepada mangsa buli siber, mendiang R Thivyaanayagi, 20 membuat laporan polis bagi menuntut keadilan terhadap kematian wanita itu ekoran tidak tahan dengan kecaman warganet di Balai Polis Bukit Tengah, Bukit Mertajam. FOTO Ihsan Pembaca
Nur Izzati Mohamad


KELUARGA mangsa buli siber, mendiang R Thivyaanayagi, 20, menuntut individu yang menulis komen jelik hingga menyebabkan wanita itu bertindak membunuh diri dibawa ke muka pengadilan sebagai hukuman.

Dalam kejadian Selasa lalu, wanita itu ditemui tergantung dipercayai tertekan selepas satu video TikTok dia dan seorang rakan sekerja warga Bangladesh dimuat naik di laman sosial Facebook mendapat kecaman warganet.

Aksi berkenaan dijadikan bahan ejekan kerana menganggap mereka menjalinkan hubungan istimewa.

Tidak tahan dengan kecaman itu, dia mengambil keputusan untuk menamatkan hidupnya.

Kakak mendiang, R Logeshwari, 26, berkata dia bersama ahli keluarga lain juga tidak tahan dengan pelbagai komen yang disifatkan keterlaluan dan menghina mendiang adiknya.

"Komen yang dilemparkan begitu menyakitkan hati dan tidak sanggup untuk membacanya.

"Sebelum ini, saya sudah memberi kata semangat kepada adik supaya bersabar, namun terlambat apabila dia mengambil tindakan membunuh diri kerana tidak sanggup menjadi mangsa buli siber," katanya.

Logeshwari berkata demikian ketika ditemui selepas menemani ahli keluarganya membuat laporan di Balai Polis Bukit Tengah, Bukit Mertajam, hari ini.

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Tengah, Gooi Hsiao Leung.

Katanya, mereka tampil membuat laporan polis kerana mahu menuntut keadilan terhadap kematian adiknya selain memberi pengajaran bahawa jenayah buli siber amat berbahaya kerana boleh menganggu emosi.

"Hari ini adik saya salah seorang mangsanya, dan saya tidak mahu ada lagi mangsa-mangsa lain yang tidak bersalah menjadi bahan buli netizen.

"Kami berharap pihak polis dapat melakukan siasatan dan mengambil tindakan sewajarnya kepada individu yang melemparkan komen jelik supaya kematian adik mendapat keadilan," katanya.

Sementara itu, Hsiao Leung berkata, pihak polis perlu melakukan siasatan terperinci kerana kes buli siber dilihat semakin serius khususnya dalam kalangan belia.

"Situasi ini amat membimbangkan di mana kita boleh lihat berlaku peningkatan kes jenayah siber dan buli siber semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP)," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 Mei 2020 @ 5:37 PM