NIELHAN dipenjara 10 tahun dan dua sebatan atas kesalahan melakukan amang seksual terhadap kanak-kanak perempuan warga Australia, dua tahun lalu. FOTO Arkib NSTP
NIELHAN dipenjara 10 tahun dan dua sebatan atas kesalahan melakukan amang seksual terhadap kanak-kanak perempuan warga Australia, dua tahun lalu. FOTO Arkib NSTP
Abdul Rahemang Taiming

Tawau: Mahkamah Tinggi, di sini, hari ini menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun dan dua sebatan ke atas pekerja binaan atas kesalahan melakukan amang seksual terhadap kanak-kanak perempuan warga Australia, dua tahun lalu.

Hakim Datuk Duncan Sikodol membuat keputusan itu selepas bersetuju dengan pihak pendakwaan bahawa hukuman diputuskan oleh Mahkamah Sesyen Tawau sebelum ini adalah tidak sejajar dengan trend hukuman bagi kesalahan berkenaan.

Berikutan itu, keputusan mahkamah menggantikan hukuman asal dengan satu hukuman iaitu 10 tahun penjara (dari tarikh tangkapan) serta dua sebatan.

Mahkamah turut memerintahkan tertuduh membayar pampasan ganti rugi berjumlah RM20,000 kepada mangsa dan jika gagal, hukuman penjara tambahan selama dua tahun.

Prosiding hari ini, pada asalnya ditetapkan untuk permohonan peguam tertuduh, Datu Baginda Datu Laja menarik diri, namun beliau hanya memfailkan hasrat penarikan diri tanpa hadir.

Pada 12 Januari lalu, tertuduh Nielhan Abdullah, 25, menukar pengakuan kepada bersalah selepas pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie pada perbicaraan.

Tertuduh yang juga pendatang asing tanpa izin (Pati) didakwa melakukan perbuatan amang seksual terhadap mangsa berusia sembilan tahun, di dalam bilik sebuah pusat peranginan di Pulau Mabul, Semporna, kira-kira 7.45 malam, pada 2 Oktober 2022.

Kesalahan didakwa mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan Seksual Kanak-Kanak 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum selama 20 tahun dan sebat, jika sabit kesalahan.

Prosiding dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Hurman Hussain.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 Julai 2024 @ 12:58 PM