KEADAAN treler yang dinaikkan ke darat. FOTO RAMLI IBRAHIM
KEADAAN treler yang dinaikkan ke darat. FOTO RAMLI IBRAHIM
Ramli Ibrahim


Gua Musang: Pemandu ditemukan lemas hari ini selepas treler sarat muatan balak yang dipandunya terjunam ke dalam tasik di Kilometer 47, Jalan Lojing-Gua Musang, dekat Pos Blau, semalam.

Sebelum ini dia dilaporkan hilang selepas hanya treler dan kayu balak ditemukan di dalam dan tepi tasik dipercayai selepas rantai mengikatnya terputus.

Mangsa, Kamarulzaman Sallehuddin, 33, berasal dari Ladang Rengas, Perak, ditemukan selepas kepala treler yang terjunam ke dalam tasik diangkat naik ke darat menggunakan dua kren kira-kira 12.30 tengah hari.

Ketua Polis Daerah, Superintendan Sik Choon Foo berkata, operasi mencari dan penyelamat (SAR) menggunakan dua kren untuk mengangkat naik kepala treler.

Beliau berkata, usaha itu terpaksa diambil berikutan operasi SAR yang menggunakan tenaga penyelam membabitkan anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat gagal menemui mangsa.

"Sebaik berjaya mengangkat naik kepala treler itu, mangsa ditemukan dalam keadaan tersepit dalam kenderaan remuk itu.

"Anggota bomba menggunakan pelbagai alat bagi mengeluarkan mangsa," katanya.

Menurutnya, mayat mangsa dihantar ke Hospital Gua Musang (HGM) untuk bedah siasat sebelum diserahkan kepada keluarganya untuk dikebumikan.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Gua Musang, Mohd Arifuddin Akif Mohd. Noor berkata, SAR itu membabitkan 10 anggotanya dengan dibantu oleh tujuh anggota unit skuba.

Berita berkaitan:

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 23 April 2021 @ 5:52 PM