Elias Omar
Elias Omar
Zuliaty Zulkiffli


Alor Setar: Seorang jururawat wanita berusia 53 tahun kerugian RM350,000 selepas ditipu Macau Scam kononnya wanita itu tidak membayar cukai pendapatan RM55,800.82.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Kedah, Superintendan Elias Omar berkata, mangsa dihubungi seorang individu pada 29 Disember tahun lalu jam 11 pagi melalui nombor talian 03-83137183.

Beliau berkata, mangsa yang menetap di Pokok Sena itu pada awalnya menafikan perkara itu dan memberitahu tidak pernah membuat akaun perniagaan (SSM) dengan nama syarikat AR Maju Trading yang didaftar di Kelantan.

"Bagaimanapun, individu terbabit memaklumkan yang mangsa tidak membayar selama 15 bulan.

"Malah, individu itu meminta mangsa membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan untuk menafikan mangsa tidak terbabit dengan kes berkenaan," katanya, di sini, hari ini.

Elias berkata, mangsa kemudian diminta bercakap dengan "Datuk Nurul Huda Saleh" dari IPK Kelantan yang kemudian meminta nombor Mykad mangsa untuk membuat pemeriksaan.

Beliau berkata, individu itu yang menghubungi mangsa melalui nombor talian 017-7817459 itu memaklumkan maklumat mangsa adalah untuk tujuan siasatan, malah turut meminta semua nombor kad bank milik mangsa.

"Selain itu, akaun Tabung Haji mangsa pula mempunyai link (rangkaian) dengan akaun Bank Islam miliknya.

"Namun, pada 17 Januari lalu kira-kira jam 11 pagi, mangsa pergi ke Bank Islam di Alor Setar untuk mengeluarkan wang namun terkejut apabila membuat semakan baki mendapati wang simpanannya berkurangan," katanya.

Elias berkata, berikutan itu mangsa mengesyaki dia ditipu dan kerugian kira-kira RM350,000 sebelum membuat laporan di balai polis.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 420, Kanun Keseksaan kerana menipu.

"Polis meminta orang ramai tidak mudah terpedaya dengan sindiket penipuan Macau Scam atau penipuan lain yang menggunakan pelbagai kaedah bagi menipu mangsa.

"Jangan mudah menyerahkan segala maklumat peribadi secara dalam talian selain memastikan sentiasa membuat semakan dengan pihak polis atau pihak berkaitan untuk membuat pengesahan selain berbincang atau bertanya dengan keluarga serta rakan supaya tidak mengambil tindakan sendiri.

"Selain itu, jangan sekali percaya sepenuhnya sebarang panggilan diterima mengaku dari mana-mana jabatan kerajaan atau institusi kewangan, sebaliknya orang ramai dinasihatkan untuk menghubungi sendiri ke jabatan berkenaan untuk pengesahan," katanya.

Elias berkata, sebelum membuat sebarang bayaran, orang ramai boleh membuat semakan status akaun di laman sesawang http://ccid.rmp.gov.my>semakmule.

Beliau berkata, sebarang kemusykilan atau pertanyaan, orang ramai boleh menghubungi CCIS Response Center di talian 03-26101559 / 1599," katanya.

tamat

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 20 January 2022 @ 1:57 PM