LIM Guan Eng (kiri) diiringi peguam RSN Rayer keluar dari perkarangan IPD Timur Laut di sini, selepas selesai sesi memberi keterangan berkaitan dua kenyataan media yang dibuat beliau tahun lalu. FOTO Danial Saad
LIM Guan Eng (kiri) diiringi peguam RSN Rayer keluar dari perkarangan IPD Timur Laut di sini, selepas selesai sesi memberi keterangan berkaitan dua kenyataan media yang dibuat beliau tahun lalu. FOTO Danial Saad
Audrey Dermawan


Georgetown: Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng, hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Timur Laut bagi dirakam kenyataannya berkaitan dengan dua siaran media dibuatnya pada 2019.

Anggota Parlimen Bagan itu dilihat keluar sekitar jam 3.25 petang, selepas kira-kira sejam, sambil ditemani peguamnya, RSN Rayer.

Guan Eng hanya melambai kepada wakil media yang menunggu di luar sebelum masuk ke dalam kereta tanpa berkata apa-apa.

Terdahulu, Guan Eng tiba bersama Rayer dan dan Ramkarpal Singh pada jam 2.30 petang.

Terdahulu, ketika dihubungi, Ramkarpal mengesahkan bahawa Lim sedang dirakam kenyataan.

"Ya, dia sedang merakam percakapan sekarang berkaitan dengan dua siaran media yang dikeluarkan olehnya pada 2019," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Timur Laut Asisten Komisioner Soffian Santong mengesahkan perkara itu dan mengatakan bahawa perkara itu dikendalikan oleh Bukit Aman.

Guan Eng sebelum ini dipanggil untuk dirakam kenyataan pada malam Krismas lalu namun polis membatalkannya sehari sebelum itu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 January 2021 @ 6:48 PM