BANGKAI pesawat MH17. FOTO AFP
BANGKAI pesawat MH17. FOTO AFP
Reuters

AMSTERDAM: Hari pertama perbicaraan empat perancang utama insiden pesawat Malaysia Airlines MH17 yang ditembak jatuh di timur Ukraine pada 2014, Isnin ini.

Apa yang berlaku?

MH17 dalam perjalanan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur pada 17 Julai 2014 dan melalui laluan ruang udara di mana zon tentera Ukraine dan kumpulan pemberontak disokong Russia berperang. Pendakwaan berkata, pesawat itu ditembak jatuh dengan peluru berpandu dari kawasan dikuasai pemberontak. Semua 298 penumpang dan kru terkorban dengan 198 daripadanya warga Belanda. Belanda dan Russia sebelum ini mendakwa Russia bertanggungjawab kerana membekalkan peluru berpandu berkenaan. Moscow, bagaimanapun, menafikan dakwaan itu.

Kenapa perbicaraan di Belanda?

Pada Ogos 2014, Belanda, Ukraine, Malaysia, Australia dan Belgium menubuhkan Pasukan Penyiasatan Bersama Antarabangsa (JIT) untuk menyiasat insiden berkenaan. Pada 2017, negara terbabit bersetuju pendakwaan diadakan di Belanda mengikut undang-undang negara berkenaan.

Apa dakwaan?

Pendakwaan berkata peluru berpandu yang menembak jatuh pesawat itu datang dari briged tentera Russia ke-53 yang berpangkalan di bandar Kurk, barat daya Russia. Moscow menafikan dakwaan ini. Suspek didakwa menyebabkan pesawat itu terhempas yang mengorbankan semua kru dan penumpang, dan membunuh 298 orang.



Siapa defendan?

Pada Jun 2019, pendakwaan menamakan tiga suspek warga Russia dan seorang warga Ukraine. Mereka adalah bekas Kolonel Perkhidmatan Keselamatan Persekutuan Russia (FSB) Igor Girkin; bekas pegawai Agensi Perisikan Tentera Russia (GRU) Sergey Dubinskiy; bekas pegawai tentera Spetznaz-GRU Oleg Pulatov; dan Leonid Kharchenko dari Ukraine. Mereka didakwa terbabit merancang serangan berkenaan.

Siapa akan tampil di mahkamah?

Itu tidak pasti. Belanda sudah mengeluarkan waran tangkap suspek yang dipercayai berada di Russia. Bagaimanapun, negara terbabit tidak mahu mengekstradisi suspek atau memberi bekerjasama untuk terhadap perbicaraan itu. Bagaimanapun, suspek boleh melantik peguam bela dan menyertai perbicaraan itu menerusi sidang video. Wakil kepada mangsa dijangka hadir.



Bagaimana perbicaraan itu berlangsung?

Itu bergantung kepada pembelaan suspek. Jika mereka melantik peguam, perbicaraan mungkin berlangsung dengan atau tanpa kehadiran mereka. Jika mereka tidak tampil dan melantik peguam, undang-undang Belanda membenarkan perbicaraan dijalankan tanpa kehadiran tertuduh (in absentia). Hakim juga boleh melantik peguam untuk melindungi hak suspek.

Apa bentuk keputusan?

Pembunuhan beramai-ramai boleh dihukum dengan penjara sepanjang hayat. Jika suspek didapati bersalah dan dijatuhkan hukuman tanpa kehadiran atau menyertai perbicaraan itu, undang-undang Belanda membenarkan perbicaraan semula. Ia jika mereka dalam tahanan pihak berkuasa negara itu.

Apa akan berlaku di mahkamah?

Mahkamah sudah menetapkan dua minggu untuk pusingan pertama perbicaraan bagi pihak pendakwaan. Ia untuk memastikan sama ada bukti dan keterangan mencukupi dan jika ada isu berhubung prosedur. Mahkamah kemudian akan menetapkan satu tarikh untuk perbicaraan lanjut dan ucapan pembukaan.

Di mana perbicaraan berlangsung?

Perbicaraan akan mengambil tempat di Mahkamah Daerah Hague. Kompleks mahkamah itu berhampiran dengan Lapangan Terbang Schiphol dan dikawal ketat.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 7 Mac 2020 @ 2:42 PM