GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Mohd Nasaruddin Parzi


Kuala Lumpur: Perbincangan sedang dilakukan untuk penetapan kadar baharu bantuan Rancangan Makanan Tambahan (RMT) di sekolah, kata Menteri Kanan Pendidikan Datuk Dr Radzi Jidin.

Bagaimanapun, beliau berkata, perkara itu tertakluk kepada kelulusan dan keupayaan kewangan semasa kerajaan.

"Kadar semasa RMT adalah sebanyak RM2.50 di semenanjung Malaysia dan RM3 di Sabah, Sarawak serta Labuan. Kadar ini mula digunakan mulai 2016," katanya dalam jawapan bertulis bagi menjawab pertanyaan Wan Hassan Mohd Ramli (PAS-Dungun) di Dewan Rakyat, hari ini.

Menurutnya, KPM sentiasa menambah baik program RMT dari semasa ke semasa, termasuk melaksana pemberian susu kepada murid sekolah rendah yang layak.

Katanya, pemberian susu sudah disediakan sebanyak dua kali seminggu di bawah Program Susu Sekolah (PSS) mulai 1980.

"PSS kemudiannya digabungkan dengan RMT yang mana mulai 2022 pemberian susu ditingkatkan kepada setiap hari persekolahan," katanya.

Program RMT adalah pemberian makanan tambahan kepada murid sekolah rendah yang layak mengikut garis panduan yang ditetapkan.

Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin sebelum ini mencadangkan supaya kadar RMT bagi murid sekolah rendah dinaikkan kepada RM4 di Semenanjung Malaysia dan RM5 di Sabah, Sarawak dan Labuan.

Beliau berkata sudah mengemukakan syor supaya peruntukan KPM bagi RMT ditingkatkan kepada Kabinet bagi memastikan murid mendapat makanan berkhasiat.

Kata Khairy, berdasarkan pemantauan kepatuhan menu program RMT yang dijalankan Bahagian Pemakanan KKM dari Januari hingga Jun lalu, hanya 61 peratus sekolah dipantau mematuhi menu RMT.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 Ogos 2022 @ 11:45 AM